Sabtu, 18 Disember 2021 | 1:33pm

Ismail Sabri calon PM pada PRU-15 - UMNO Machang

MACHANG: UMNO Bahagian Machang mencadangkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dicalonkan sebagai Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), berikutan prestasi cemerlang serta kepemimpinan yang ditunjukkan pada pentadbiran kerajaan Persekutuan sekarang.

Ia adalah tujuh usul yang dikemukakan pada mesyuarat parti itu selain mengulangi pendirian dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) supaya tiada sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam menghadapi PRU nanti.

Selain itu, UMNO Bahagian Machang menggesa hubungan dua parti besar orang Melayu, UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) supaya dapat diperkukuhkan kembali.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, menerusi mesyuarat hari ini, pihaknya mengemukakan tujuh usul sebelum diluluskan sebulat suara oleh 350 perwakilan.

"Antara lain adalah kita mencadangkan supaya PRU-15 dilakukan terlebih dahulu sebelum mengadakan pemilihan parti UMNO bagi mewujudkan kerajaan yang stabil, menjamin kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

"Bagi merealisasikan hasrat ini, UMNO Machang mencadangkan perhimpunan agung khas diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2021 di Dewan Pusat Transformasi IImu, Bukit Tiu, di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2021 di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu hari ini. - Foto BERNAMA
Ahmad Jazlan menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2021 di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu hari ini. - Foto BERNAMA

Ahmad Jazlan berkata, pada masa sama, pihaknya menggesa kerajaan mengambil tindakan tuntas dalam menangani kenaikan dan menstabilkan harga barang keperluan yang meningkat secara mendadak dan dengan jelas membebankan rakyat terutama golongan B40.

"Usul terakhir adalah menggesa kerajaan Pusat memberi perhatian serta menyelesaikan kekurangan guru dalam mata pelajaran tertentu terutama di kawasan luar bandar," katanya.

Ahmad Jazlan merangkap Ketua UMNO Bahagian Machang (kanan) beramah mesra dengan sebahagian perwakilan bahagian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Persidangan UMNO Bahagian Machang, di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tui, Machang, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X