Sabtu, 18 Disember 2021 | 1:17pm
Mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1 (TIP 1), Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. - Foto APM
Mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1 (TIP 1), Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. - Foto APM

Mangsa banjir Kelantan meningkat kepada 1,219

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,219 orang setakat jam 12 tengah hari ini, berikutan beberapa daerah yang masih hujan terutama Jeli dan Gua Musang.

Mereka daripada 287 keluarga itu ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Ketua Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff, berkata beberapa PPS di Gua Musang mula dibuka jam 9 pagi tadi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1 (TIP 1) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Star.

Mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1 (TIP 1), Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. - Foto ihsan APM
Mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1 (TIP 1), Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. - Foto ihsan APM

Dua PPS itu dibuka susulan beberapa kampung iaitu Lembaga, Kampung Tiong, Sungai Cindai, Bandar Lama, Kampung Baru, Batu 1, Batu 2 dan Kampung Star yang dinaiki air.

"Pihak kami bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pasukan polis dan agensi lain dalam usaha memindahkan mangsa yang terjejas.

"Saya juga berharap mereka yang terjejas membuat persediaan awal dan segera menghubungi pihak keselamatan untuk membantu," katanya dihubungi hari ini.

Beberapa jalan di Gua Musang ditutup iaitu Jalan Sungai Terah ke Jeli dan Jambatan Sungai Cindai iaitu untuk ke bandar lama.

Jalan utama dari Gua Musang ke Kuala Lumpur atau Gua Musang ke Kuala Krai tidak terjejas dan masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Keadaan banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang semalam susulan hujan lebat sejak kelmarin. - Foto ihsan polis
Keadaan banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang semalam susulan hujan lebat sejak kelmarin. - Foto ihsan polis

Berita Harian X