Sabtu, 18 Disember 2021 | 1:17pm
Sungai Pengkalan, Alor Gajah melimpah ke jalan raya, hari ini. - Foto NAZRI ABU BAKAR
Sungai Pengkalan, Alor Gajah melimpah ke jalan raya, hari ini. - Foto NAZRI ABU BAKAR

Lima PPS dibuka di Melaka

MELAKA: Seramai 225 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Alor Gajah, susulan hujan lebat sejak petang semalam dan awal pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin, berkata PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal itu dibuka sejak 9 malam tadi, diikuti SK Cherana Puteh dan SK Telok Berembang, awal pagi tadi.

Katanya, dua lagi PPS ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan dan Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Jelatang, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Katanya, 54 keluarga dipindahkan membabitkan 225 mangsa, dengan PPS SK Telok Berembang yang tertinggi setakat ini, iaitu 71 mangsa.

"Semua mangsa dipindahkan selepas Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning , pekan Lubok China, Ramuan Besar China, Taman Seri Bayu, 1 & 2 , Kampung Pengkalan dan Kampung Panchor dinaiki air," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 14 kawasan di daerah Melaka Tengah dinaiki air tetapi tiada PPS dibuka.

Beliau berkata, antara kawasan terjejas banjir di daerah itu termasuk Batu Hampar Peringgit, Kampung Enam,Taman Bukit Beruang Melawis, Hang Tuah Mall, Jalan Ong Kim Wee, Kampung Hulu, Kampung Morten dan Malim Jaya.

Menurutnya, kawasan terjejas banjir di Jasin pula membabitkan Lubuk Kasau dan tiada PPS dibuka setakat ini," katanya.

Berita Harian X