Sabtu, 18 Disember 2021 | 11:54am
Hujan lebat di pusat mengundi SJK Chung Hua, Sibu, pagi ini. - Foto IHSAN PEMBACA
Hujan lebat di pusat mengundi SJK Chung Hua, Sibu, pagi ini. - Foto IHSAN PEMBACA

Hujan lebat di Sibu tak halang pengundi tunai tanggungjawab

SIBU: Hujan lebat yang melanda Sibu pagi ini, tidak menghalang pengundi, termasuk Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 hari ini.

Wong, calon PSB bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan tiba bersama isteri, Datin Sri Pauline Leong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua pada jam 8.44 pagi dan selesai mengundi kira-kira 15 minit kemudian.

Turut mengundi di pusat sama ialah calon GPS bagi kerusi Bawang Assan, Senator Robert Lau Hui Yew yang tiba pada jam 9.55 pagi.

Sebelum itu, kira-kira setengah jam selepas pusat pengundian mula dibuka pada 7.30 pagi tadi, hujan lebat dan angin kuat menyebabkan kanopi petugas kesihatan di sini hampir rebah, sekali gus memaksa mereka berpindah ke tempat berbumbung.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bawang, Assan Suhaili Mohamed berkata petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah ditugaskan untuk membantu menyambut pengundi yang tidak memiliki payung untuk ke tempat mengundi.

"Kita juga sudah menjangkakan hujan pada pagi ini sebab itu lebih 10 kanopi kita susun sebagai 'bumbung' dari laluan pagar utama ke bangunan berbumbung," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, pemerhatian mendapati cuaca semakin bertambah baik pada jam 9.40 pagi dan semakin ramai pengundi mula tiba di pusat mengundi yang memiliki sembilan saluran mengundi itu.

Selain Wong dan Robert, persaingan merebut kerusi DUN Bawang Assan turut melibatkan calon DAP Amy Lau Bik Yin; Michelle Ling Shyan Mih (Parti Bumi Kenyalang) dan calon Bebas, Ricky Enteri.

Wong, 79, sudah menjadi wakil rakyat bagi DUN Bawang Assan sejak 1981, sebelum ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRN ke-11 2016, beliau mempertahan kerusi itu sebagai calon langsung BN selepas menang dengan majoriti 4,131 undi.

Kerusi Bawang Assan mempunyai seramai 19,610 pengundi dengan nisbah 50:50 pengundi bumiputera dan bukan bumiputera. – BERNAMA

Berita Harian X