Sabtu, 18 Disember 2021 | 11:40am
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Kompleks Sukan Satok, Kuching. - Foto AIZUDDIN SAAD
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Kompleks Sukan Satok, Kuching. - Foto AIZUDDIN SAAD

Abang Johari, isteri selesai mengundi di Satok

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak, di Kompleks Sukan Satok, di sini hari ini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu tiba di pusat mengundi bersama isterinya, Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang pada jam 10 pagi dan selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing kira-kira 15 minit kemudian.

Abang Johari adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok namun kini bertukar ke DUN Gedong.

Kompleks Sukan Satok adalah antara pusat mengundi bagi DUN Satok pada PRN12 Sarawak.

DUN Satok, yang mempunyai 14,314 pemilih berdaftar, menyaksikan pertembungan antara calon GPS Datuk Ibrahim Baki, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Nor Irwan Ahmat Nor dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Awang Badele Awang Ali.

Terdahulu, Ibrahim turut mengundi di Sekolah Kebangsaan Rakyat, Jalan Haji Bolhassan, Kampung No 3 di sini. – BERNAMA

Berita Harian X