Sabtu, 18 Disember 2021 | 11:26am
Suasana hari pengundian berjalan lancar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di SJK (C) Chuang Hua No.4, Kuching. - AIZUDDIN SAAD
Suasana hari pengundian berjalan lancar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di SJK (C) Chuang Hua No.4, Kuching. - AIZUDDIN SAAD

Hanya suhu badan normal dibenar celup jari

KUCHING: Hanya pengundi yang mempunyai suhu badan normal dibenar mencelup jari telunjuk dalam botol dakwat kekal pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, hari ini.

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bagi pengundi yang mempunyai suhu badan 37.5 ke atas, jari telunjuk mereka akan dicalit dakwat kekal menggunakan berus.

Katanya, maklumat itu diperoleh daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan pertikaian orang ramai yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

"Saya ada baca mesej tular dalam WhatsApp kenapa celup jari dalam botol, bukan disapu dengan berus.

"Apabila disemak dengan SPR, berus hanya digunakan untuk suhu badan 37.5 dan selepas itu dibuang. Bagi yang suhu badan normal, semua celup jari telunjuk dalam botol dakwat kekal," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Kompleks Sukan Satok, di sini hari ini.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya meminta semua pemilih berdaftar supaya keluar mengundi awal kerana cuaca tidak menentu.

Katanya, hujan dan ribut petir yang diramal berlaku di banyak kawasan negeri ini pada sebelah petang aku menyulitkan proses pengundian.

"Pemantauan saya mendapati proses pengundian di Sekolah Kebangsaan ,(SK) Rakyat dan Kompleks Sukan Satok adalah lancar dan mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja.

"Kadar keluar mengundi baik kerana kawasan ini agak padat. Saya tak sangka ramai warga emas pun keluar mengundi.

"Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 juga dijaga dengan begitu baik sekali," katanya.

Berita Harian X