Sabtu, 18 Disember 2021 | 10:17am
Pengundi mencelup jari mengguna dakwat kekal ketika mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Permaisuri hari ini. - Foto BERNAMA
Pengundi mencelup jari mengguna dakwat kekal ketika mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Permaisuri hari ini. - Foto BERNAMA

11 peratus sudah keluar mengundi

KUCHING: Sejumlah 11 peratus daripada 1,213,769 pengundi biasa sudah menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, setakat jam 9 pagi tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada PRN Sarawak kali ini, seramai 1,252,014 pengundi berdaftar, layak mengundi dan daripada jumlah itu, seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 orang sudah mengundi secara pos.

Pusat pengundian dibuka bermula jam 7.30 pagi dan akan ditutup pada jam 5 petang.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 pertarungan lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PAS (satu).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN itu.

Berita Harian X