PUTRAJAYA: Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan banyak kawasan perumahan dan kampung di Sepang dilanda banjir kilat.
Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim, berkata hujan lebat sejak petang semalam hingga subuh menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke kawasan perumahan penduduk.
Katanya, banjir kali ini agak teruk kerana membabitkan banyak kawasan dan setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat lanjut senarai kawasan terbabit.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, berkata banjir kilat kali ini turut melanda Kampung Olak Lempit, kali pertama berlaku di kawasan itu tahun ini. Di Dengkil pula kawasan terbabit termasuk Taman Delima, Kampung DatukAhmad Razali, Kampung Cemperai dan Kampung Ampar Tenang.
"Hari ini kita akan mula buka pusat pemindahan sementara (PPS) kerana semalam dimaklumkan ada mangsa yang menumpang tinggal di rumah saudara mara dan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)."
"Bagi PPS di Kampung Giching dan Dengkil semua mangsa perlu menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu bagi mengelak jangkitan dalam kalangan penghuni," katanya dihubungi hari ini.