Sabtu, 18 Disember 2021 | 8:35am
Tiga Sungai di Kelantan mencatat bacaan melebihi paras bahaya membabitkan jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah susulan hujan yang tinggi sejak beberapa hari lalu. - Foto fail NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tiga Sungai di Kelantan mencatat bacaan melebihi paras bahaya membabitkan jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah susulan hujan yang tinggi sejak beberapa hari lalu. - Foto fail NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

3 sungai di Kelantan catat paras bahaya

KOTA BHARU: Tiga Sungai di Kelantan mencatat bacaan melebihi paras bahaya membabitkan jajahan Kuala Krai dan Tanah Merah susulan hujan yang tinggi sejak beberapa hari lalu.

Sungai yang terbabit adalah Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Golok serta Kampung Jenob di Tanah Merah, yang mana masing-masing menunjukkan bacaan 25.51 meter, 24.2 meter dan 24.66 meter, setakat jam 8 pagi ini.

Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, empat lagi sungai mencatat bacaan paras amaran iaitu di Sungai Golok, Rantau Panjang, Sungai Aring, Gua Musang, Sungai Kampung Karangan, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di jajahan Tanah Merah.

Semua sungai itu menunjukan trend air yang semakin meningkat menyebabkan beberapa penempatan sudah mulai digenangi banjir sekali gus mencatat jumlah mangsa banjir yang bertambah di Kelantan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, menasihati penduduk terutama di kawasan rendah untuk sentiasa berwaspada dengan bah yang melanda selain menekankan mereka yang terbabit agar segera berpindah jika keadaan air semakin bertambah.

"Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan membabitkan jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah sejak semalam.

"Ia membabitkan 786 mangsa daripada 167 keluarga. Malah saya difahamkan daripada jumlah berkenaan, terdapat enam orang kurang upaya (OKU) yang dipindahkan ke PPS, namun tidak perlu bimbang kerana semua mangsa disediakan kemudahan sebaiknya oleh agensi yang bertanggungjawab di PPS.

"Justeru pertambahan PPS mungkin bileh berlaku termasuk di jajahan lain seperti Pasir Mas jika taburan hujan masih tinggi,"katanya ketika dihubungi, hari ini

Menurutnya, fenomena itu sudah menjadi lumrah alam yang perlu ditempuhi, namun semua yang terkesan diharap bertabah dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.

Jelasnya lagi, semua anggota JBPM sentiasa bersiap siaga membantu mangsa banjir selain sudah membuat persiapan awal untuk bertugas dengan norma baharu susulan pandemik COVID-19.

From: Syaherah

Berita Harian X