Sabtu, 18 Disember 2021 | 8:26am
Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto hiasan NSTP
Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Foto hiasan NSTP

40 mangsa terjejas banjir kilat, satu PPS dibuka di Alor Gajah

MELAKA: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Alor Gajah selepas kawasan tersebut dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda daerah itu sejak 3 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kolonel (PA) Cuthbert John Martin, berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal itu kini menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga yang terjejas.

"PPS itu dibuka pada 9 malam semalam selepas lebih empat kawasan di daerah berkenaan terjejas akibat banjir kilat. Kawasan berkenaan adalah Kampung Bukit Tambun, Kampung Balai, Kampung Jeram dan Kampung Taboh Naning," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Sementara itu, sebanyak 14 kawasan di daerah Melaka Tengah turut terjejas namun setakat ini tiada PPS dibuka.

Antara kawasan yang dilanda banjir kilat adalah Taman Bukit Beruang Melawis, Batu Hampar Peringgit, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Kampung Hulu, Kampung Sungai Putat, Kampung Morten, Kampung Chetti dan Empangan Klebang.

Di daerah Jasin pula, hanya sebuah kawasan iaitu Lubuk Kasau dilaporkan terjejas akibat hujan lebat yang melanda kawasan itu. – BERNAMA

Berita Harian X