Sabtu, 18 Disember 2021 | 12:11am
- Hiasan. FOTO BERNAMA
- Hiasan. FOTO BERNAMA

Pemilihan parti selepas PRU-15 - Puteri UMNO

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mahu pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan seluruh jentera dan kepemimpinan parti memberi fokus 100 peratus kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU-15.

Setiausaha Puteri UMNO, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata, 171 bahagian bertegas mahukan jentera parti dipimpin dan difokuskan ke arah gerak kerja memenangi PRU-15 sebagai agenda utama parti serta mengadakan pemilihan parti selepas pilihan raya umum.

"Ketidakstabilan parti menuju ke PRU-15 selepas pemilihan akan memberi impak negatif jangka panjang kepada parti dan rakyat khususnya," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Asuma Beevi berkata, perkara itu antara tiga usul utama dibawa perwakilan Puteri UMNO seluruh negara dalam mesyuarat perwakilan pada 11 dan 12 Disember lalu, dengan kurang daripada 10 bahagian lagi akan bersidang esok serta Ahad, selain memaklumkan 180 bahagian menghantar usul kali ini.

Katanya, usul kedua disokong sebulat suara adalah memastikan wanita muda dinamakan sebagai calon pilihan raya demi memperkasa dan menaik taraf kedudukan golongan muda di dalam parti.

Beliau berkata, usul ketiga dibawa suara majoriti perwakilan Puteri UMNO pula adalah mendesak kerajaan memperkasakan wanita dan memberi ruang seluasnya kepada wanita dalam penggubalan dasar negara.

"Usul ini akan diperhalusi dan dibahas di Persidangan Agung UMNO Pergerakan Puteri UMNO bagi mendapatkan mandat perwakilan seterusnya dimuktamadkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"Selain agresif bersiap-siaga menunggu gendang perang dipalu, harapan perwakilan Puteri UMNO seluruh negara adalah suara anak muda diangkat dan terus diperkasakan," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 13 Januari tahun depan. – BERNAMA

Berita Harian X