Sabtu, 18 Disember 2021 | 12:00am
- FOTO FB TMJ
- FOTO FB TMJ

TMJ taja lawatan Mohd Adam Amsyar ke Legoland

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menaja lawatan adik Mohd Adam Amsyar Abdul Rahman, kanak-kanak penyakit jantung terbalik atau 'Mitral Valve Atresia', yang mahu mengunjungi taman tema Legoland, di sini.

Tunku Ismail turut berkenan menanggung perubatan kanak-kanak itu dan mahu berjumpanya.

Baginda berharap, tajaan lawatan ke Legoland itu akan membawa keceriaan kepada Mohd Adam dan keluarganya.

"Baru-baru ini ada berita mengenai adik Mohd Adam, beliau menghidap penyakit jantung terbalik.

"Saya menitahkan Setiausaha saya dan Pegawai Daerah Pontian untuk memenuhi hasrat adik Mohd Adam dan keluarganya untuk melawat Legoland.

"Saya juga akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan lawatan ini dan juga perubatan adik Mohd Adam.

"Diharapkan ini dapat membawa sedikit keceriaan kepada adik Adam dan keluarga. Alhamdulillah kita jumpa nanti," titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi.

Hari ini media melaporkan, kisah Mohd Adam, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di Kampung Parit Haji Ahmad, di sini, menderita penyakit jantung terbalik menyebabkannya sering sesak nafas serta keletihan.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, menyebabkan injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Bapanya, Abd Rahman Ahmad, 47, dilaporkan berkata penyakit anaknya hanya dikesan ketika usianya mencecah tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.

Beberapa individu, selebriti, syarikat korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) turut tampil untuk membantu Mohd Adam Amsyar selepas kisahnya disiarkan media.

Berita Harian X