Jumaat, 17 Disember 2021 | 11:47pm
- Hiasan
- Hiasan

Polis ketat kawalan sempadan elak Long Tiger bolos

ALOR SETAR: Polis Kedah mengetatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mengekang lelaki dikenali sebagai 'Long Tiger' lolos ke Thailand.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, anggota polis dikerah mengesan dan memburu suspek terbabit yang berjaya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, Rabu lalu.

Beliau berkata, sekatan jalan raya (SJR) turut diadakan di Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra di Durian Burung untuk melakukan pemeriksaan semua kenderaan dan individu hendak ke sempadan.

"Kita turut menubuhkan pasukan khas (Task Force) untuk membantu polis Kontinjen Johor mengesan suspek.

"Pasukan terbabit di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri akan melakukan risikan sekiranya terdapat pergerakan suspek di sempadan Malaysia-Thailand," katanya, hari ini.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Rabu lalu kira-kira jam 11.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat dilaporkan berkata, tertuduh masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan.

Berita Harian X