Jumaat, 17 Disember 2021 | 10:23pm
Annuar hadir merasmikan persidangan UMNO Bahagian Ketereh hari ini. FOTO BERNAMA
Annuar hadir merasmikan persidangan UMNO Bahagian Ketereh hari ini. FOTO BERNAMA

Kertas kerja SWN, 5G diedar kepada kementerian

KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kewangan akan membentangkan kertas kerja Jemaah Menteri berhubung keputusan menggunakan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan akhir hasil pertemuan dengan pembangkang di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi mendapatkan maklum balas semua pihak sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Katanya, penerangan turut dibuat Digital Nasional Berhad (DNB) selaku pengendali SWN yang mengadakan mesyuarat bersama pihak kerajaan, Ahli Parlimen dan pembangkang.

"Minggu ini kita akan edarkan kertas Jemaah Menteri kepada semua kementerian supaya dapat memberi respons dan pandangan sebelum dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kerajaan telus dan terbuka menjalankan sesi libat urus dengan semua pihak supaya tidak timbul pertikaian atau kekeliruan," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang DBM mempunyai skandal lebih besar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, dakwaan Anwar tidak berasas kerana kertas kerja berkaitan diedar minggu lalu dan keputusan penggunaan SWN dibuat dalam masa terdekat.

"Kita bagi penerangan, jumpa setiap menteri termasuk pembangkang, dia (Anwar) tak datang, 1MDB pun tidak pergi ke setiap orang macam DNB buat," katanya.

Sebelum ini, Malaysia bakal menggunakan rangkaian 5G menerusi SWN yang membentuk sebuah syarikat milik penuh kerajaan untuk mengendalikan pembinaan prasarana manakala syarikat Telco bertindak menjalankan perniagaan 5G runcit.

Berita Harian X