Jumaat, 17 Disember 2021 | 5:49pm
Ab Hamim atau lebih dikenali Long Tiger yang melarikan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak. - Foto fail NSTP
Ab Hamim atau lebih dikenali Long Tiger yang melarikan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak. - Foto fail NSTP

Peguam terkejut Long Tiger loloskan diri

JOHOR BAHRU: Datuk Shaharudin Ali, peguambela kepada Abd Hamim Ab Hamid atau lebih dikenali sebagai 'Long Tiger', terkejut dengan insiden anak guamnya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Rabu lalu.

Shaharudin berkata, kejadian itu sangat mengejutkan kerana pada sebelah pagi, Long Tiger sudah dipanggil oleh Majistret ke dalam kamar.

"Di dalam kamar Majistret sekitar jam 10 pagi, pihak pendakwa telah memaklumkam bahawa seorang saksi kes (SP6) dan isteri (juga saksi) tidak dapat hadir kerana bayi mereka sakit dan mendapatkan rawatan.

"Semua pihak setuju sambung bicara kes ini dimulakan pada jam 2.30 petang untuk membolehkan saksi pendakwaan berkenaan hadir ke mahkamah.

"Namun ketika peguam makan tengah hari di bandar Muar, kami dikejutkan dengan berita Long Tiger telah lari keluar dari lokap mahkamah. Kami juga dimaklumkan kes telah ditunda keesokkan harinya dan mahkamah akan mendegar kes ini keesokkan harinya iaitu semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan orang ramai diminta tampil membantu polis mengesan Abd Hamim, 33, selepas lelaki Rohingya itu meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret di sini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata polis kini melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah ini dalam usaha mengesan suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari.

Dalam kejadian itu, suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta selipar, melarikan diri dari lokap kira-kira jam 11.55 pagi.

Sementara itu, Shaharudin berkata, peguam Long Tiger sekali lagi hadir di mahkamah dan memaklumkan pembelaan sedia untuk meneruskan kes tanpa kehadiran tertuduh, pada jam 10 semalam.

Peguam tertuduh juga tiada bantahan permohonan pendakwa raya yang memohon wang ikat jamin dirampas dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

"Kami tiada bantahan dan mahkamah selepas itu menetapkan satu tarikh sebutan pada tahun depan.

"Melarikan diri daripada tahanan sah adalah satu kesalahan jenayah dan itu tidak dinafikan. Namun Mahkamah Tinggi Muar juga telah mendengar tentang cubaan mencederakan atau membunuh Long Tiger dalam penjara, pada 21 November lalu.

"Laporan polis telah dibuat dan hakim Mahkamah Tinggi Muar merekodkan semua kenyataan kenyataan peguam dan Timbalan Pendakwa Raya dalam mahkamah terbuka," katanya.

Beliau berkata, cubaan mencederakan anak guamnya semasa dalam tahanan bukan perkara baru dan semuanya ini telah dirakamkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Muar.

"Kami khuatir dan kami tidak tahu, samada Ab Hamim melarikan diri atas sebab yang berkaitan dengan keadaan mentalnya akibat daripada serangan fizikal dan mental ke atas beliau di dalam tahanan reman," katanya.

Berita Harian X