Jumaat, 17 Disember 2021 | 4:45pm
Lim Guan Eng hadir di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Lim Guan Eng hadir di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Guan Eng minta 10 peratus untung projek terowong

KUALA LUMPUR: Saksi utama kes Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu meminta 10 peratus daripada keuntungan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pendakwaan ke-23, berkata wang rasuah berjumlah 10 peratus itu adalah daripada keuntungan yang perlu diberikan kepada Guan Eng apabila syarikatnya dianugerahkan projek berkenaan.

Zarul ketika membacakan pernyataan saksinya, berkata beliau agak terkejut dan berfikir sejenak permintaan itu kerana tidak menyangka ia akan keluar daripada mulut Guan Eng yang selama ini dianggap sebagai orang yang menentang rasuah.

"Kemudian saya pun bersetuju dengan permintaan itu. ...Guan Eng dilihat tersenyum selepas saya menyatakan persetujuan memberikan 10 peratus keuntungan projek itu kepadanya.

"Guan Eng memberitahu beliau atau pegawainya akan memberikan bantuan dalam memberikan apa-apa maklumat yang diperlukan untuk projek ini kepada saya," katanya.

Menceritakan semula perkenalannya dengan Guan Eng, Zarul berkata, beliau diperkenalkan kepada Ahli Parlimen Bagan itu oleh Datuk Seri Nazri Aziz sekitar bulan Januari 2011 di Hotel Shangri La.

Dalam perjumpaan itu, beliau menceritakan kepada Guan Eng bahawa beliau dalam usaha bersama pihak syarikat Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG) untuk mencari projek di Malaysia.

"Saya pun mengambil kesempatan untuk menawarkan khidmat BUCG kepada Guan Eng, sekiranya ada projek Infrastruktur di Pulau Pinang yang saya boleh ambil bahagian bagi pihak BUCG dan beliau juga nampak berminat," katanya.

Zarul, berkata selepas perjumpaan itu, beliau cuba menghubungi Guan Eng iaitu seminggu selepas perjumpaan pertama tetapi tidak diangkat.

Pada penghujung Januari 2011, beliau mencuba lagi untuk menghubungi Guan Eng dan kali ini panggilannya dijawab.

"Guan Eng menjemput saya untuk datang pejabatnya untuk memberi taklimat tentang projek ini dan dalam masa yang sama memaklumkan ada pegawainya bernama Datuk Lim Hock Seng akan menghubungi saya dari semasa ke semasa untuk memberikan maklumat tentang projek ini," katanya.

Zarul, berkata sekitar awal bulan Mac 2011, Guan Eng memberitahu beliau hendak berjumpa dengannya di Restoran Itali di Jalan Ampang melalui panggilan telefon.

Selepas makan malam dalam jam 11.45 malam, Lim Guan Eng meminta untuk menghantar beliau pulang ke Hotel Gardens di Mid Valley, di sini.

"Semasa di dalam kereta, Guan Eng memberitahu saya bahawa Perdana Menteri China akan membuat lawatan ke Malaysia dan menandatangani beberapa perjanjian persefahaman (MOU).

"Guan Eng mencadangkan kepada saya untuk mengaturkan satu MOU antara BUCG dengan Kerajaan Pulau Pinang, yang tentunya akan disaksikan oleh Perdana Menteri China dan Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Guan Eng memberitahu jika saya dapat melaksanakan majlis MOU itu, projek berkenaan akan diberikan kepada saya secara rundingan terus.

"Ketika itu saya rasa sangat teruja. Hanya saya dan Guan Eng berada dalam kereta. Saya memberikan persetujuan untuk menjayakan majlis MOU seperti yang dicadangkan oleh beliau," katanya.

Beliau gembira, yakin dan percaya dengan apa yang dikatakan Guan Eng kepadanya untuk memberikan projek yang dianggarkan bernilai RM7 billion itu.

"Selepas itu, Guan Eng ada meminta saya untuk memberikannya 10 peratus daripada keuntungan projek itu kelak kepada beliau," katanya.

Zarul berkata dalam perjumpaan tak rasmi dengan Hock Seng pada pertengahan Mac 2011, beliau memaklumkan Kerajaan Pulau Pinang akan membuat MOU dengan BUCG dalam masa terdekat di Pulau Pinang.

Katanya, upacara tandatangan diantara BUCG dan Kerajaan Pulau Pinang berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 17 Mac dan 28 April 2011.

"Saya sendiri yang menandatangai MOU bagi pihak BUCG dan untuk Kerajaan Pulau Pinang diwakili, ...rasanya oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang.

"Ini menyakinkan saya lagi dengan persetujuan yang berlaku di antara saya dan Guan Eng ketika dalam kereta sebelum ini," katanya.

Zarul berkata pada awal bulan Mei 2011, beliau berjumpa dengan Guan Eng bagi menuntut janji beliau untuk menganugerahkan projek kepada BUCG secara rundingan terus.

Namun sebaliknya, Guan Eng menyatakan bahawa beliau terpaksa memanggil tender terbuka untuk projek berkenaan.

"Saya merasa kecewa kerana Guan Eng membuat pusingan U. Tetapi beliau berjanji dengan saya ketika itu akan membantu saya untuk dianugerahkan projek berkenaan dengan memberi arahan kepada pegawainya bagi memberikan kerjasama penuh kepada saya dalam hal ini.

"Guan Eng juga meminta supaya Permintaan untuk Cadangan (RFP) dipercepatkan dan meminta pihak BUCG membantu pegawainya dan Hock Seng dalam penyediaan RFP itu kelak," katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Mac depan.

Berita Harian X