Jumaat, 17 Disember 2021 | 4:23pm
Adam Amsyar meluahkan hasrat agar bapa membawanya ke Legoland. - Foto Nur Aisyah Mazalan
Adam Amsyar meluahkan hasrat agar bapa membawanya ke Legoland. - Foto Nur Aisyah Mazalan

Legoland Malaysia akan tunaikan hajat Adam

JOHOR BAHRU: Legoland Malaysia berhasrat menunaikan impian pesakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia, Mohd Adam Amsyar, 9, yang mahu mengunjungi taman tema berkenaan.

Perkara itu dikongsi wakil taman tema itu yang menghubungi wartawan NSTP bagi mendapatkan maklumat lanjut Mohd Adam dan keluarganya.

Wakil Legoland Malaysia berkata, pihak taman tema itu sedang menguruskan perincian bagi membolehkan Mohd Adam dan keluarganya, dibawa ke taman tema berkenaan dalam masa terdekat.

"Legoland Malaysia terharu membaca kisah Mohd Adam dan mahu menunaikan impiannya. Kami sedang memproses beberapa butiran lanjut termasuk prosedur operasi standard (SOP) berikutan keadaan Mohd Adam yang tidak boleh berjalan jauh dan cepat letih.

"Insya-Allah impian adik Mohd Adam akan kami tunaikan dalam masa terdekat," katanya ketika menghubungi NSTP.

BH hari ini melaporkan kisah Mohd Adam, kanak-kanak berusia sembilan tahun di Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian yang menderita penyakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia yang menyebabkannya sering sesak nafas serta keletihan.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, di mana injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Pesakit jantung terbalik, Adam Amsyar, 9, bersama bapa, Abd Rahman Ahmad, 47, dan kakaknya, Irin Nadia, 11, (kiri) ketika ditemui di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pesakit jantung terbalik, Adam Amsyar, 9, bersama bapa, Abd Rahman Ahmad, 47, dan kakaknya, Irin Nadia, 11, (kiri) ketika ditemui di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Bapanya, Abd Rahman Ahmad, 47, dilaporkan berkata penyakit anaknya, Mohd Adam Amsyar, hanya dikesan ketika usianya tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.

Beberapa individu perseorangan, selebriti, syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil mahu membantu Mohd Adam selepas tersiarnya kisah hasratnya untuk ke Legoland sebelum hayatnya berakhir.

Tinjauan mendapati ibu bapa membawa anak-anak berkunjung ke taman tema sempena cuti persekolahan pada hujung tahun di Legoland Malaysia Resort, Iskandar Puteri, Johor. - Foto fail NSTP
Tinjauan mendapati ibu bapa membawa anak-anak berkunjung ke taman tema sempena cuti persekolahan pada hujung tahun di Legoland Malaysia Resort, Iskandar Puteri, Johor. - Foto fail NSTP

Sementara itu, Abd Rahman ketika dihubungi berkata, beliau terharu dan tersentuh apabila orang ramai termasuk taman tema serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil mahu memberi bantuan selepas kisah anaknya disiarkan media.

Katanya, dia terkejut dan segan apabila ramai pihak menghubunginya untuk menunaikan hasrat anak bongsunya itu.

"Saya terharu dan segan sebenarnya. Saya bukan mahu meraih simpati dan mahukan bantuan dengan menceritakan penyakit Adam tetapi lebih kepada berkongsi kisahnya.

"Wakil Legoland Malaysia juga baru hubungi saya tadi memaklumkan mahu membawa keluarga ke taman tema itu dalam masa terdekat. Hanya Allah yang dapat membalas budi tuan-tuan semua," katanya sebak.

Berita berkaitan:

  • 'Teringin ke Legoland sebelum berakhir hayat'
  • Berita Harian X