Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:55pm
Hampir keseluruhan usul daripada Bahagian mahu supaya UMNO dan BN mengetengahkan lebih ramai muka baharu serta anak muda dalam PRU15. - Foto hiasan NSTP
Hampir keseluruhan usul daripada Bahagian mahu supaya UMNO dan BN mengetengahkan lebih ramai muka baharu serta anak muda dalam PRU15. - Foto hiasan NSTP

176 bahagian Pemuda UMNO mahu pemilihan selepas PRU15

KUALA LUMPUR: Sebanyak 176 bahagian Pemuda UMNO menggesa pemilihan parti itu diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan, berkata bahagian terbabit juga meminta parti itu dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon baharu dan anak muda dalam menghadapi PRU15.

Dua usul yang menjadi ketetapan utama 176 bahagian itu sudah diserahkan ke ibu pejabat UMNO untuk diperhalusi serta dimuktamadkan, tambahnya.

"Hingga kini, hampir keseluruhan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di seluruh negara selesai melaksanakan mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing bermula 11 Disember lalu. Daripada jumlah keseluruhan yang bersidang, 176 bahagian menghantar usul.

"Usul utama bahagian itu menggesa supaya pemilihan parti diadakan selepas PRU15. Ini bagi memastikan kerukunan serta kestabilan parti terpelihara, selain memberikan ruang kepada kepimpinan parti untuk fokus terhadap agenda membantu rakyat sebelum memulangkan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan baharu.

"Kedua, hampir keseluruhan usul yang diterima daripada bahagian mahu supaya UMNO dan BN mengetengahkan lebih ramai muka baharu serta anak muda dalam PRU15. Ini juga susulan aspirasi dan keputusan kepimpinan yang meletakkan 87 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasmuni berkata, tindakan kepimpinan parti meletakkan calon baharu pada PRN Melaka menjadi saksi kepada kelebihan dan keyakinan rakyat khususnya anak muda untuk mengundi BN.

Justeru, katanya, perwakilan Pemuda UMNO percaya kepimpinan parti perlu meneruskan langkah itu bagi memastikan BN kembali menjadi pilihan majoriti rakyat.

"Ini suara majoriti akar umbi Pemuda UMNO di seluruh negara yang mahukan pengukuhan serta memastikan UMNO menjadi organisasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan demi kemakmuran negara.

"Saya juga percaya Pemuda UMNO sebagai tiang dan teras kepada parti perlu sentiasa bersiap siaga dan memberi komitmen terbaik dalam menghadapi apa-apa jua keadaan.

"Semoga usul diketengahkan dipertimbangkan dengan baik oleh pucuk kepemimpinan parti demi kebaikan bersama," katanya.

Berita Harian X