X
Jumaat, 17 Disember 2021 | 2:43pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Majikan perlu benarkan pekerja keluar mengundi

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 esok.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata mana-mana majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka keluar mengundi, boleh dikenakan tindakan.

Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun jika sabit kesalahan.

"Sebanyak 1,866 pusat mengundi dengan 3,555 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian dan seramai 46,565 petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.

"Seramai 1,213,769 pengundi bakal mengundi esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ikmalrudin mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen tamat pada jam 11.59 malam ini.

Katanya, semua pihak tidak boleh merayu undi termasuk di pusat mengundi atau melalui mana-mana saluran media sosial.

"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang.

"SPR sekali lagi menegaskan kepada pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi supaya tidak memakai baju, topi, pelitup muka atau membawa barangan yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik," katanya.

Berita Harian X