Jumaat, 17 Disember 2021 | 2:05pm
Tinjauan di Sungai Kelantan menunjukkan paras air meningkat sejak awal pagi ini. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar
Tinjauan di Sungai Kelantan menunjukkan paras air meningkat sejak awal pagi ini. - Foto NSTP/ Nik Abdullah Nik Omar

Rumah ditenggelami air lagi

RANTAU PANJANG: Enam keluarga di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh, di sini, kembali resah apabila penempatan mereka sudah mula digenangi air separas 0.4 meter sejak malam tadi susulan peningkatan air di Sungai Golok.

Lebih menyedihkan, mereka baharu saja pulang selepas hampir dua minggu berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh akibat rumah dilimpahi banjir termenung.

Penduduk, Nur Azni Setapa, 45, berkata tahun ini saja, sudah dua kali keluarganya ditempatkan di PPS dan sekarang, 'menunggu masa' untuk berpindah lagi kerana air dilihat semakin meningkat.

"Kalau nak diikutkan rasa penat dan sedih, tak tahu macam mana nak gambarkan..berpindah- randah berulang kali.

"Jika cuaca terus mendung dan hujan lebat begini, kami jangkakan akan mula berpindah pada petang ini kerana biasanya air mula naik mendadak pada waktu malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kampung Bendang Perol menjadi lokasi terawal dinaiki banjir di daerah Pasir Mas jika berlaku peningkatan air di Sungai Golok, selain Kampung Luar, Kampung Lachang dan Kampung Pengkalan Rakit, di sini.

Menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok menunjukkan trend air semakin meningkat dengan bacaan semasa 7.56 meter melebihi paras berjaga-jaga, setakat jam 11.15 tengah hari ini.

Sementara itu, bagi Muhammad Shahmi Abdul Majid, 17, beliau mengambil langkah mudah dengan tidak menurunkan barang yang sudah disimpan di tempat tinggi ketika kediaman mereka dinaiki air sebelum ini kerana sudah menjangkakan rumah akan dinaiki air lagi.

"Kami sudah faham dengan situasi sebegini kerana biasanya kami perlu berpindah ke PPS sekurang-kurangnya empat kali apabila musim tengkujuh tiba," katanya.

Berita Harian X