Jumaat, 17 Disember 2021 | 11:50am

'Teringin ke Legoland sebelum berakhir hayat'

PONTIAN: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di Kampung Parit Haji Ahmad di sini menderita penyakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia yang menyebabkannya sering sesak nafas serta keletihan.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, di mana injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Bapanya, Abd Rahman Ahmad, 47, berkata penyakit anaknya, Mohd Adam Amsyar, hanya dapat dikesan ketika usianya tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.

Bapa tunggal itu berkata, doktor pakar hospital awam yang merawat anaknya memaklumkan penyakit itu bukan sahaja amat jarang berlaku malah hanya tiga pesakit sahaja termasuk anak bongsunya, dikesan menderita penyakit berkenaan di negara ini.

Pesakit jantung terbalik, Adam Amsyar, 9, bersama bapa, Abd Rahman Ahmad, 47, dan kakaknya, Irin Nadia, 11, (kiri) ketika ditemui di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pesakit jantung terbalik, Adam Amsyar, 9, bersama bapa, Abd Rahman Ahmad, 47, dan kakaknya, Irin Nadia, 11, (kiri) ketika ditemui di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Penyakit jantung terbalik Adam dikesan doktor ketika usianya tujuh tahun selepas dia kerap sesak nafas, bengkak di bahagian muka serta anggota badan dengan tubuhnya akan menjadi kebiruaan.

"Apa yang lebih membuat saya sedih apabila doktor memaklumkan tidak dapat melakukan pembedahan bagi membetulkan keadaan jantung Adam kerana ia amat merisikokan nyawanya.

"Saya sebak apabila doktor menyatakan tiada apa-apa yang dapat dilakukan dan berpesan supaya sering datang ke hospital untuk melakukan pemeriksaan susulan selain menjaga Adam betul-betul, terutama jangan biarkan dia keletihan dan sentiasa menggembirakannya.

"Saya juga terpaksa melepaskan kerja tetap sebagai pemandu lori disebabkan Adam memerlukan penjagaan rapi, menyebabkan kami sekeluarga mengalami kekangan kewangan dan tidak mampu lagi membelikan susu formula khas disarankan doktor pakar bagi meredakan kesakitannya," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Abd Rahman berkata, walaupun menerima bantuan asnaf Baitulmal sebanyak RM550 sebulan, dia tidak mahu berpeluk tubuh malah sanggup melakukan pelbagai pekerjaan sampingan termasuk mengambil upah memotong rumput di sekitar kampung.

"Adam kerap alami sesak nafas dan kemudian tubuhnya kebiruaan menyebabkan saya risau. Saya kena sentiasa berada di sisinya supaya dapat menghantarnya mendapatkan rawatan sekiranya diperlukan. Saya juga risau meninggalkan Adam bersama kakaknya, Irin Nadia,11, kerana mereka berdua masih kecil," katanya.

Sementara itu, Adam yang sebak ketika bapanya menangis menceritakan penderitaan ditanggungnya berkata, dia sangat sayangkan bapanya itu yang sering berusaha menggembirakan hatinya walaupun kehidupan mereka susah.

"Saya ada beritahu ayah teringin ke Legoland di Johor Bahru sebelum akhir hayat saya, dan ayah berjanji bekerja lebih gigih bagi mencari wang untuk bawa saya.

"Kalau tak pergi Legoland pun tak apa, sebab bersama ayah pun dah gembirakan hati saya," katanya.

Penasihat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bapa tunggal, Abd Rahman Ahmad,47, yang menjaga anaknya Adam Amsyar, 9, (dua dari kiri) yang menghidap penyakit jantung terbalik di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Penasihat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kanan) menyampaikan sumbangan kepada bapa tunggal, Abd Rahman Ahmad,47, yang menjaga anaknya Adam Amsyar, 9, (dua dari kiri) yang menghidap penyakit jantung terbalik di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Dalam pasa itu, Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah yang juga Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, bantuan sebanyak RM5,000 disalurkan yayasan kepada keluarga Adam bagi keperluan pembelian susu formula khas untuk jantungnya, bagi tempoh setahun.

"Yayasan juga menyampaikan bantuan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan sebagainya bagi meringankan beban dan memberikan keceriaan kepada keluarga Abd Rahman.

"Yayasan akan terus memantau keluarga Abdul Rahman bagi memastikan keperluan Adam dapat disediakan termasuk perbelanjaan untuk membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, yang perlu dilakukan dua kali sebulan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Legoland Malaysia akan tunaikan hajat Adam
  • Pesakit jantung terbalik, Adam Amsyar, 9, mengalirkan air mata apabila mendengar keluhan bapanya mengenai penyakit yang dihidapinya di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
    Pesakit jantung terbalik, Adam Amsyar, 9, mengalirkan air mata apabila mendengar keluhan bapanya mengenai penyakit yang dihidapinya di Ayer Baloi, Pontian. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
    Berita Harian X