Jumaat, 17 Disember 2021 | 10:26am
Foto hiasan
Foto hiasan

Bekalan air di 463 kawasan pulih 12 peratus

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 peratus daripada 463 kawasan yang terjejas di Lembah Klang pulih sehingga jam 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dalam satu kenyataan, berkata tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Katanya, daerah Hulu Langat dan Petaling telah mencatatkan peratusan pemulihan 77.8 peratus dan 7.6 peratus.

"Tiga daerah iaitu Kuala Langat, Putrajaya dan Sepang pula masing-masing mencatatkan sifar peratus pemulihan bekalan air," katanya.

Beliau berkata, bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 11:30 malam ini.

Terdahulu, LRA Sg Semenyih dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Sementara itu, Elina berkata, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki," katanya.

"Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor," katanya.

Menurut Elina, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Katanya, pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan ke Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Berita Harian X