Khamis, 16 Disember 2021 | 10:29pm
Air Selangor
Air Selangor

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 11.30 malam esok - Air Selangor

KUALA LUMPUR: Bekalan air di semua 463 kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 11.30 malam esok, menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, berikutan tiada bau yang dikesan di muka sauk, Air Selangor sudah memulakan proses rawatan air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih).

"Ini untuk memastikan air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna," katanya.

Terdahulu, LRA Sg Semenyih dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Sementara itu, Elina berkata, bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

"Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki, katanya.

"Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor," katanya.

Menurut Elina, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Katanya, pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan ke Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. - BERNAMA

Berita Harian X