Khamis, 16 Disember 2021 | 7:33pm
Laporan BH hari ini mengenai cadangan pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa gangguan seksual dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021.
Laporan BH hari ini mengenai cadangan pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa gangguan seksual dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021.

Baik buruk pampasan RM250,000 kepada mangsa gangguan seksual

KUALA LUMPUR: Pemberian pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa gangguan seksual yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021, dilihat boleh mendorong pelaku yang berkemampuan untuk terus mengulangi jenayah berkenaan.

Itu antara reaksi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di negara ini susulan bacaan kali pertama RUU berkenaan di Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata perkara paling penting adalah memastikan masyarakat dididik melalui sistem pendidikan formal sejak di peringkat sekolah bagi memastikan gangguan seksual tidak berlaku.

"Saya tak begitu setuju (bayaran pampasan) sebab ia akan menyebabkan pelaku terus mengulangi kesalahan itu kerana mereka boleh membayar mangsa. Pampasan sehingga RM250,000 ini tidak adil serta tidak akan menghilangkan atau melenyapkan unsur gangguan seksual yang sudah berlaku.

"RUU ini perlu perlu mempunyai kandungan yang jelas serta garis panduan yang ketat supaya pelaku sedar apa yang akan menimpa mereka apabila melakukan gangguan seksual," katanya kepada BH, hari ini.

Jika RUU itu diluluskan, satu tribunal khas dikenali Tribunal bagi Antigangguan Seksual akan turut diwujudkan dengan peruntukan kuasa memerintahkan pelaku membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 bagi sebarang kehilangan atau kerosakan ditanggung mangsa.

Ia juga boleh memerintahkan pelaku mengeluarkan pernyataan permohonan maaf kepada pengadu dalam sebarang bentuk, selain perintah untuk pelaku menghadiri program yang difikirkan perlu.

Sementara itu, Pegawai Advokasi Kanan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Rusni Tajari, berpendapat pemberian pampasan itu perlu sebagai ganti rugi kepada semua kos membabitkan mangsa gangguan seksual.

Bagaimanapun, beliau mengakui bayaran pampasan sahaja tidak cukup bagi mencegah perbuatan berkenaan, sekali gus penguatkuasaan undang-undang serta perlindungan adalah sangat penting bagi memastikan mangsa mendapat bantuan dan pertolongan yang diperlukan.

Pada masa sama, Rusni menyambut baik penubuhan tribunal melalui RUU itu yang disifatkannya penting bagi memantau dan menguatkuasakan akta berkenaan, sama ada bagi mengambil tindakan ke atas pelaku atau organisasi yang didapati gagal memenuhi tanggungjawab di bawah RUU berkenaan.

Profesor Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datin Dr Sapora Sipon pula berkata, organisasi perlu mewujudkan persekitaran bebas gangguan seksual melalui peraturan serta kesedaran mengenainya di tempat kerja.

"Masih ada pekerja yang kurang jelas apa sebenarnya takrifan gangguan seksual, begitu juga kriteria atau ciri-cirinya. Justeru peraturan dan kesedaran mengenainya perlu disebarkan kepada semua pekerja," katanya.

Katanya lagi, amalan etika keadilan boleh menghalang seseorang untuk tidak menganiaya dan melakukan ketidakadilan melalui gangguan seksual dan dari sudut psikologi pula, kawalan diri amat perlu supaya tidak terperangkap dengan situasi yang termasuk dalam takrifan gangguan seksual.

"Kawalan pemikiran dan emosi perlu kuat bagi mengingatkan diri perbuatan ini tidak adil, mendatangkan bahaya dan tidak beretika, sama ada kepada diri sendiri atau individu lain. Ia adalah usaha kolektif diri, majikan dan juga pekerja dalam mencegah gangguan seksual," katanya.

Berita Harian X