Khamis, 16 Disember 2021 | 5:57pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. - NSTP/ARKIB
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. - NSTP/ARKIB

SKM biaya koperasi edar barang keperluan, ANGKASA jaga pemasaran - Noh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan dipertanggungjawabkan untuk membiayai koperasi yang dilantik sebagai pengedar barangan keperluan asas pada harga lebih murah.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) pula akan dipertanggungjawabkan dalam aspek pemasaran bagi koperasi yang dilantik atau diwujudkan di seluruh negara.

Menjelaskan demikian, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat baru-baru ini susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu melihat koperasi membantu menangani kenaikan harga barang.

Katanya, di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), terdapat banyak koperasi yang wujud, sama ada di bawah Angkasa, SKM atau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang boleh memainkan peranan penting membantu rakyat.

"Kita setuju dengan cadangan Perdana Menteri dan sudah bermesyuarat, selain melantik wakil kementerian untuk melaksanakannya secepat mungkin.

"ANGKASA akan memainkan peranan dalam pemasaran dan SKM akan membiayai koperasi yang terbabit. UDA Holdings Berhad (UDA) juga akan memainkan peranannya untuk tujuan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah SME Bank 2021, di sini hari ini.

Perdana Menteri pada 12 Disember lalu menyarankan koperasi di seluruh negara membantu menangani masalah kenaikan harga barang bagi mengurangkan tekanan dan beban kewangan rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Kata Ismail Sabri, antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pemborong khas koperasi untuk membekalkan barangan secara pukal pada harga murah kepada seluruh koperasi dan manfaat kaedah itu akhirnya dapat turut dinikmati rakyat.

Noh berkata, melalui perbincangan yang diadakan sebelum ini, koperasi yang akan digerakkan bagi membantu rakyat nanti akan dibahagikan kepada tiga kategori.

"Kategori pertama adalah koperasi menjual barangan keperluan kering sahaja, kategori kedua pula menjual barangan kering dan basah, manakala kategori ketiga membabitkan satu koperasi yang lebih besar, iaitu melalui operasi pasar raya," katanya.

Katanya, dalam tempoh terdekat, sekurang-kurangnya 500 koperasi yang memberi manfaat sedemikian akan diwujudkan di seluruh negara.

"Kita akan wujudkan koperasi di masjid-masjid, taman perumahan serta perumahan awam, malah di institusi pengajian tinggi (IPT) juga. Coop Mart pula akan digabungkan menjadi sebuah koperasi yang besar untuk memudahkan rakyat berbelanja dengan kos murah tidak lama lagi.

"Kita akan tubuhkan Coop Mart sekurang-kurangnya satu di setiap negeri dalam masa terdekat. Dua projek koperasi pertama untuk tujuan ini, masing-masing akan dilancarkan di Putrajaya dan Ampang dalam tempoh terdekat," katanya.

Berita Harian X