Khamis, 16 Disember 2021 | 5:39pm
Anggota APM melakukan rondaan di kawasan berbatu sepanjang persisiran pantai bagi mengesan mangsa bot karam pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat di perairan Tanjung Balau, hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota APM melakukan rondaan di kawasan berbatu sepanjang persisiran pantai bagi mengesan mangsa bot karam pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat di perairan Tanjung Balau, hari ini. - Foto BERNAMA

Bot karam, 8 lagi mayat ditemui

KOTA TINGGI: Lapan lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) insiden bot pancung karam di Perairan Tanjung Balau, di sini, ditemui berhampiran lokasi kejadian antara jam 6.45 pagi hingga 11 pagi tadi.

Ia menjadikan angka korban meningkat kepada 19 orang setakat ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata lapan mayat yang ditemui membabitkan enam lelaki dan dua wanita.

"Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) hari ini menemui lapan lagi mayat PATI, dengan mayat pertama ditemui jam 6.45 pagi dan mayat kelapan ditemui jam 11 pagi tadi.

"Jumlah mangsa insiden bot karam ini meningkat kepada 19 orang, 17 masih hilang dan mangsa selamat kekal 14 orang.

"Op Carilamat hari kedua membabitkan pencarian di 76.50 batu nautika udara dan 148.81 batu nautika laut.

"Operasi carilamat hari ini disertai 145 anggota daripada Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain Kementerian Kesihatan (KKM).

"Esok operasi pencarian akan disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ia akan diteruskan sekurang-kurangnya dua hari lagi sebelum ditentukan mengikut keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Memerintah Rejimen ke-7 Artileri Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Mohamed Ridzal Radzuan.

Semalam, seramai 11 pendatang asing PATI disahkan terkorban, 25 hilang dan 14 selamat dalam kejadian bot pancung karam dibadai ombak di perairan Tanjung Balau, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dilaporkan berkata, bot pancung terbabit dipercayai karam dibadai ombak akibat cuaca buruk kira-kira jam 4.30 pagi.

Simon berkata, mayat pertama (lelaki) ditemui pada jarak 100 meter, manakala mayat kedua ditemui pada jarak 280 meter.

"Mayat kelapan ditemui kira-kira satu kilometer dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pantai Tanjung Balau.

"Semua mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru. Pencarian masih diteruskan untuk mengesan sekurang-kurangnya 17 mangsa yang belum ditemui," katanya.

Berita Harian X