Khamis, 16 Disember 2021 | 12:27pm
LRA Sungai Semenyih dihenti tugas hari ini. - Foto hiasan NSTP/ ZULFADHLI ZULKIFLI
LRA Sungai Semenyih dihenti tugas hari ini. - Foto hiasan NSTP/ ZULFADHLI ZULKIFLI

LRA Sungai Semenyih dihenti tugas

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan tugas berikutan pencemaran bau diesel di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di Sungai Semenyih dan anak sungai kawasan itu.

"Susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Wilayah itu ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Elina berkata, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terbabit menerusi aplikasi Air Selangor.

Katanya, Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan bagi menyediakan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terbabit.

"Sebanyak 81 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dan premis kritikal.

"Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama ketika peningkatan kes COVID-19," katanya.

Berita Harian X