Khamis, 16 Disember 2021 | 11:54am

KKM sahkan kes kedua Omicron - KJ

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kes COVID-19 varian Omicron kedua di negara ini membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang menetap di Lagos, Nigeria.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pesakit bersama ibu dan adik perempuannya tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Disember lalu sebelum disahkan positif COVID-19 dua hari selepas itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, pesakit kemudiannya disahkan varian Omicron pada 14 Disember lalu, selepas Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melakukan jujukan penuh genom.

"Pesakit tidak mempunyai gejala dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Ini menjadikan kes kumulatif kes yang dikesan Omicron adalah sebanyak dua kes di mana kedua-duanya membabitkan jangkitan import dari luar negara," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini hari ini.

Sebelum ini, Malaysia merekodkan kes pertama varian Omicron pada 2 Disember lalu membabitkan seorang pelajar berusia 19 tahun yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Khairy Jamaluddin berkata, keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kanak-kanak itu sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif namun pesakit dikesan positif pada 7 Disember lalu.

Katanya, kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawa pesakit dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

"Namun ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuan pesakit sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, hari kelima dan hari ke-11 bagaimanapun menunjukkan negatif.

"Ujian RT-PCR COVID-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan dengan keputusannya dijangka diperoleh hari ini...ketiga-tiga mereka tidak bergejala dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari," katanya.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu pula tiba di Malaysia pada 12 Disember lalu dan sedang menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta dengan ujian Rt-PCR pada hari ketibaan adalah negatif.

Katanya, selain itu keputusan ujian bagi semua 35 orang kontak yang berada dalam penerbangan sama dengan pesakit adalah negatif

Selain itu, Khairy berkata, kementeriannya turut memaklumkan sebanyak 18 kes kemungkinan varian Omicron dikesan di negara ini dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara.

Beliau berkata, 18 kes kemungkinan varian Omicron itu dikesan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) membabitkan 52 sampel.

Namun, katanya, keputusan pengesahan berhubung varian itu akan diperoleh melalui jujukan genom penuh (WGS) yang akan diperoleh esok.

"IMR menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 52 sampel daripada 52 kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 sehingga 10 Disember lalu.

"KKM ingin memaklumkan bahawa hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada WGS," katanya.

Khairy juga berkata, pihaknya juga mengarahkan golongan barisan hadapan ke medan pertempuran semula bagi berdepan ancaman Omicron.

"Negara lain sudah memaklumkan kepada kita supaya bersedia dengan kehadiran Omicron...tolong kuatkan diri kerana Omicron sudah berada di sini dan ia hanya menunggu masa.

"Kita juga sudah maklumkan kepada semua barisan hadapan bahawa kita perlu berada di medan pertempuran semula walaupun mereka sudah letih," katanya.

Berita Harian X