Khamis, 16 Disember 2021 | 11:18am
Air berbuih pada permukaan anak Sungai Rinching iaitu anak Sungai Semenyih, semalam. - Foto LUAS
Air berbuih pada permukaan anak Sungai Rinching iaitu anak Sungai Semenyih, semalam. - Foto LUAS

Tindakan pantas elak Sungai Semenyih tercemar

SHAH ALAM: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelakkan pencemaran sungai di Kampung Rinching Tengah, Semenyih, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, berkata LUAS menerima aduan air berbuih pada jam 8.45 pagi dan siasatan awal mendapati ada kesan buih pada permukaan air anak Sungai Rinching, iaitu anak Sungai Semenyih.

"Siasatan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemukan kesan buih dalam aliran longkang dari kawasan premis kilang berdekatan Fasa 7 Kesuma Beranang.

"Siasatan LUAS mendapati sebuah premis kilang pembuatan makanan yang disyaki melepaskan efluen berbuih ke dalam longkang yang mengalir ke anak Sungai Rinching.

"MPKj mengeluarkan kompaun kepada premis berkenaan di atas kesalahan melakukan pencemaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, tindakan pensampelan efluen di titik pelepasan akhir dijalankan oleh LUAS bersama JAS dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Katanya, LUAS membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntuk denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun.

"Tindakan bersepadu ini berjaya mengelakkan risiko henti tugas operasi loji rawatan air dan seterusnya gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Sehingga kini sebanyak 14 isu pencemaran berjaya diatasi di Lembangan Sungai Langat yang berisiko kepada henti tugas loji.

"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air," katanya.

Petugas mengambil sampel air berbuih dari anak Sungai Rinching. - Foto LUAS
Petugas mengambil sampel air berbuih dari anak Sungai Rinching. - Foto LUAS

Berita Harian X