Khamis, 16 Disember 2021 | 10:07am

Bot karam, 5 lagi mayat ditemui

KOTA TINGGI: Lima mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai hilang dalam insiden bot pancung karam di Perairan Tanjung Balau, di sini, ditemui berhampiran lokasi kejadian awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata mayat yang ditemui ialah tiga lelaki dan dua wanita.

Katanya, mayat pertama, lelaki ditemui jam 6.45 pagi pada jarak 10 meter (m) dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pantai Tanjung Balau.

"Ia diikuti mayat kedua juga lelaki ditemui pada 6.52 pagi dengan jarak masing-masing 100m dari PH.

"Dua lagi mayat iaitu masing-masing lelaki dan perempuan ditemukan pada 7.30 pagi, dua kilometer (km) dari PHC.

"Mayat kelima (wanita) pula ditemukan pada 7.45 pagi dengan jarak 2.5 km dari PHC," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Simon berkata, dengan penemuan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa seramai 30 orang iaitu 14 mangsa selamat dan 16 mangsa meninggal dunia.

Katanya, Maritim Malaysia bersama agensi sahabat meneruskan Op Carilamat hari kedua bagi mengesan lagi baki lebih kurang 20 mangsa yang masih belum temui berikutan insiden bot karam yang membawa lebih kurang 50 PATI, semalam.

"Op Carilamat hari ini, membabitkan keluasan 147 batu nautika pencarian di laut sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal Maritim (KM) Tegas dan bot Petir 50 Maritim Malaysia serta aset daripada agensi lain.

Op Carilamat yang dijalankan bagi mengesan lagi 20 mangsa bot pancung karam di perairan Tanjung Balau. - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia
Op Carilamat yang dijalankan bagi mengesan lagi 20 mangsa bot pancung karam di perairan Tanjung Balau. - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia

"Pencarian sektor udara seluas 76.5 batu nautika menggunakan sebuah pesawat udara AW139 Maritim Malaysia," katanya.

Semalam, 11 warga Indonesia ditemukan lemas di pantai berkenaan apabila bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi, pada awal pagi.

Seramai 14 lagi pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat manakala 25 orang dipercayai hilang.

Lima mayat PATI yang hilang dalam insiden bot pancung karam ditemui, awal pagi tadi.- Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia
Lima mayat PATI yang hilang dalam insiden bot pancung karam ditemui, awal pagi tadi.- Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia
Berita Harian X