Khamis, 16 Disember 2021 | 8:02am
Kementerian Kesihatan merekodkan 33 lagi kematian akibat COVID-19 setakat tengah malam tadi. - Foto fail NSTP
Kementerian Kesihatan merekodkan 33 lagi kematian akibat COVID-19 setakat tengah malam tadi. - Foto fail NSTP

33 kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 33 lagi kematian akibat COVID-19 setakat tengah malam tadi, dengan empat daripadanya membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Laman sesawang GitHub KKM melaporkan, kes kematian semalam menyumbang kepada 30,989 kes kematian akibat COVID-19 setakat ini di Malaysia, dengan 6,270 mangsa adalah kes BID.

Sebanyak tujuh kematian dilaporkan di Terengganu diikuti Kelantan dan Selangor (masing-masing lima), Perak dan Kuala Lumpur (masing-masing empat), Johor dan Kedah (masing-masing tiga) serta Pahang (dua).

Bagaimanapun, tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Bagi kematian kategori BID, dua daripadanya direkodkan di Kelantan dan masing-masing satu di Johor dan Selangor.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 56,989 kes positif yang masih aktif dikesan, termasuk 47,049 atau 82.6 peratus yang kini menjalani kuarantin di rumah, seramai 5,279 atau 9.3 peratus pesakit kini dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan baki 4,277 pesakit atau 7.5 peratus menjalani rawatan di hospital.

Sementara itu, sebanyak 168,716 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam, membabitkan 159,345 dos penggalak, sebanyak 4,246 dos pertama dan seramai 5,125 individu melengkapkan vaksinasi masing-masing semalam.

Setakat ini, sebanyak 55,383,495 dos pelbagai jenis vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada populasi di Malaysia.

Berita Harian X