Rabu, 15 Disember 2021 | 8:51pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini.

RUU beri perlindungan hak cipta automatik diluluskan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Hak Cipta (Pindaan) 2021, hari ini, yang membolehkan pemberian perlindungan kepada hak cipta dan hak berkaitan kepada karya secara automatik jika memenuhi kelayakan ditetapkan.

RUU itu dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan Bebas sebelum diluluskan selepas dibacakan untuk kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

Pindaan Akta 332 itu bermatlamat memberi perlindungan hak cipta yang sewajarnya, termasuk melaksanakan pengecualian hak yang dibenarkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia juga sebagai persediaan untuk Malaysia menyertai Perjanjian Marrakesh bagi mengiktiraf hak orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk mendapatkan karya dalam format boleh akses, seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 29 Oktober lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pindaan Akta 332 dan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Marrakesh akan memberi akses lebih luas bahan bacaan dalam format boleh akses kepada kira-kira 52,802 OKU penglihatan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Penyertaan Malaysia akan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara dengan memberi pengecualian daripada mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam format boleh akses untuk golongan OKU penglihatan.

"Objektif Perjanjian Marrakesh adalah bagi meningkatkan akses kepada buku, majalah dan bahan cetakan lain untuk orang buta, OKU penglihatan dan individu yang mempunyai ketidakupayaan cetakan lain," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, katanya pindaan Akta 332 juga mengambil kira perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

"RUU ini juga bertujuan mengukuhkan peruntukan berkaitan penguatkuasaan hak cipta, khususnya dalam persekitaran digital dengan memperkenalkan kesalahan pelanggaran hak cipta membabitkan teknologi penstriman selaras dengan perkembangan penyiaran karya secara dalam talian.

"Pindaan ini meluaskan kuasa penguatkuasaan bagi memastikan tindakan yang lebih efektif diambil terhadap mana-mana orang yang melakukan pelanggaran hak cipta," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Paten (Pindaan) 2021 selepas dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan Bebas.

Pindaan membabitkan 69 fasal itu antaranya bagi memenuhi keperluan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Budapest mengenai pengiktirafan antarabangsa untuk deposit mikroorganisme bagi tujuan prosedur paten.

Akta 291 itu juga perlu dipinda bagi membolehkan Malaysia mengguna pakai lesen wajib untuk membuat dan mengeksport produk farmaseutikal ke negara pengimport yang layak, bagi tujuan menangani masalah kesihatan awam.

Turut diluluskan di Dewan Rakyat hari ini adalah RUU Petunjuk Geografi 2021 selepas dibahaskan dua Ahli Parlimen, bertujuan untuk melindungi petunjuk geografi yang berdaftar atau tidak berdaftar di Malaysia.

Berita Harian X