Rabu, 15 Disember 2021 | 7:17pm
Abd Hamim Ab Hamid melarikan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak.
Abd Hamim Ab Hamid melarikan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak.

Long Tiger lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak

TANGKAK: Orang ramai diminta tampil membantu polis mengesan seorang lelaki warga Myanmar, Abd Hamim Ab Hamid, 33 tahun yang turut dikenali sebagai 'Long Tiger', selepas meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata polis kini melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah ini dalam usaha mengesan suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari.

"Usaha mengesan suspek masih dijalankan polis serta khidmat anjing pengesan K9 turut digunakan selain sekatan jalan raya (SJR)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, Mohd Fadhil berkata, polis menerima laporan pada 11.55 pagi hari ini memaklumkan seorang lelaki melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari.

Dalam kejadian itu, suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran walaupun usaha mengesannya sudah dilakukan.

"Abd Hamim dibawa ke mahkamah berkenaan bagi prosiding mengikut Seksyen 388, iaitu kes ugutan terhadap seseorang selepas dibawa dari penjara Sungai Udang, Melaka di sini, semalam.

"Alamat terakhirnya, No 292 Jalan Rambutan, Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak.

"Siasatan lanjut masih dijalankan. Kami tidak akan berkompromi serta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota polis jika siasatan mendapati terdapat unsur kecuaian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222, Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau mana-mana IPD.

Berita Harian X