KOTA TINGGI: Pelbagai barangan peribadi dipercayai milik mangsa bot pancung yang karam ketika menyeludup 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke negara ini, bertaburan di tepi pantai perairan Tanjung Balau di sini.
Bingkai dengan gambar pasangan lelaki dan wanita adalah di antara barang-barang yang dijumpai terdampar di pantai dalam keadaan baik, walaupun cerminnya pecah.
Selain bingkai tersebut, tinjauan di lokasi juga mendapati barangan seperti baju, seluar, pakaian dalam, beg dan barang kosmetik turut terdampar di tepi pantai berkenaan.
Turut ditemui songkok dan sejadah dipercayai milik PATI berkenaan yang beragama Islam.
Setakat petang ini, seramai 10 PATI maut, 21 ditemui selamat, manakala 29 lagi masih hilang selepas bot pancung dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di Tanjung Balau, Kota Tinggi kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Ketika ini, Op Carilamat giat dijalankan mulai jam 8.50 pagi dengan mengatur gerak pesawat AW 139 Agusta, kapal KM Tegas dan bot Petir 50 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang terlibat.
Berita berkaitan: