Rabu, 15 Disember 2021 | 3:01pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA

RUU Antigangguan Seksual 2021, mangsa boleh terima pampasan

KUALA LUMPUR: Mangsa gangguan seksual bakal dibela menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021, yang membolehkannya menerima pampasan sehingga RM250,000 daripada pelaku.

Menerusi RUU yang dibacakan untuk kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, satu tribunal khusus juga akan diwujudkan, yang dikenali sebagai Tribunal bagi Antigangguan Seksual.

Berdasarkan naskhah biru RUU itu, tribunal berkenaan memiliki kuasa memerintahkan pelaku gangguan seksual untuk membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 bagi sebarang kehilangan atau kerosakan ditanggung mangsa.

Tribunal itu juga boleh memerintahkan pelaku untuk mengeluarkan pernyataan permohonan maaf kepada pengadu dalam sebarang bentuk, selain perintah untuk pelaku menghadiri program yang difikirkan perlu.

"Tribunal boleh membuat apa-apa perintah sampingan atau berbangkit atau relief sebagaimana yang perlu untuk menguatkuasakan apa-apa perintah yang dibuat oleh tribunal.

"Tribunal boleh menolak sesuatu aduan gangguan seksual yang dianggap remeh atau menyusahkan oleh tribunal," jelas naskhah biru berkenaan.

RUU itu turut menjelaskan, sekiranya aduan gangguan seksual dibuat kepada Tribunal bagi Antigangguan Seksual, pelaku atau mana-mana pihak lain masih boleh melaporkannya kepada polis.

Berhubung tribunal berkenaan, RUU itu menggariskan ia dibarisi Presiden dan Timbalan Presiden, serta lima anggota lain yang pernah memegang jawatan dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta peguam bela dan peguam cara.

Selain itu, seramai sekurang-kurangnya lima lagi anggota yang memiliki pengetahuan dan pengalaman praktikal dalam perkara berhubung gangguan seksual.

Dalam pada itu, RUU itu memperincikan maksud gangguan seksual sebagai apa-apa kelakuan bersifat seksual dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau menjadi ancaman kepada kesejahteraannya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, dalam sidang media memaklumkan, RUU itu adalah manifestasi penting bagi menunjukkan kesalahan gangguan seksual adalah pelanggaran hak asasi manusia dan keganasan berasaskan gender.

Selain aspek definisi gangguan seksual dan penubuhan tribunal, katanya, RUU itu juga membabitkan pemakaian undang-undang yang lebih meluas tanpa mengira kesalahan berlaku di tempat kerja atau mana-mana tempat lain.

"Ia juga membabitkan penambahbaikan terhadap sistem perundangan sedia ada dalam pengendalian aduan gangguan seksual menerusi penubuhan tribunal khusus.

"Standard pembuktian pelakuan gangguan seksual di tribunal ini mengguna pakai pembuktian secara imbangan kebarangkalian.

"Tebus rugi kepada mangsa pula dilaksanakan melalui pemberian remedi yang bersesuaian dan tidak hanya bersifat punitif dan pengajaran kepada responden saja," katanya.

Beliau berkata, bacaan kedua RUU itu dijangka akan dibacakan kali kedua untuk diluluskan esok.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, turut mengemukakan RUU bagi meminda Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu antara lain bagi memasukkan Seksyen 4A ke dalam Akta 461 bagi memberi kuasa kepada Komisioner Jeneral untuk mengeluarkan perintah tetap atau arahan berhubung Perintah Kehadiran Wajib.

Selain itu, pindaan RUU itu bagi memberi kuasa kepada mahkamah membuat Perintah Kehadiran Wajib kepada pesalah yang disabit kesalahan yang boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun.

Berita Harian X