Rabu, 15 Disember 2021 | 2:49pm
Buli perbuatan tingkah laku agresif yang mendatangkan kecederaan wajar dikenakan tindakan.
Buli perbuatan tingkah laku agresif yang mendatangkan kecederaan wajar dikenakan tindakan.

Buli lisan sering berlaku, tetapi diselesaikan secara baik oleh sekolah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan, kes buli lisan sering berlaku dalam kalangan pelajar berbanding buli fizikal, tetapi diselesaikan di peringkat pentadbiran sekolah secara baik.

Setiausaha Agungnya, Wang Heng Suan, berkata untuk menyelesaikan isu buli lisan yang timbul itu, pentadbiran sekolah biasanya akan memanggil ibu bapa semua pelajar yang terbabit bagi mencari penyelesaian yang baik.

Katanya, NUTP percaya tiada sekolah menyembunyikan perbuatan buli kerana pengurusannya akan mematuhi segala prosedur Kementerian Pendidikan (KPM) jika kes buli yang mendatangkan kecederaan berlaku dalam kalangan pelajar.

"Kita difahamkan, ada kes buli tidak menyebabkan kecederaan seperti buli lisan. Kes seperti ini sering berlaku dan sekolah mengambil tindakan seperti memanggil kedua-dua ibu bapa bagi menyelesaikan masalah.

"Jika ada yang beranggapan ini sebagai menyembunyikan kes, ia adalah tidak benar, sebaliknya sekolah menyelesaikan secara baik, mungkin dengan memberikan amaran, tetapi untuk kes buli mendatangkan kecederaan, sekolah akan menghantar laporan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, tindakan menyembunyikan kes buli mendatangkan kecederaan dan buli lisan adalah dua perkara berbeza, tetapi mengakui buli lisan, ada kalanya boleh mendorong kecederaan fizikal jika tidak dibendung atau diselesaikan segera.

"Sekolah yang menerima laporan mangsa dibuli dinasihatkan mengambil tindakan segera dan tidak melengahkan aduan mangsa kerana kita tidak mahu kes ini terus berlarutan yang mendatang kesan lebih teruk di kemudian hari," katanya.

Pada masa sama, Heng Suan mencadangkan supaya kajian mengembalikan kuasa merotan oleh guru, dibuat oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kerana pendekatan itu dapat membendung kes disiplin seperti kes buli yang semakin berleluasa.

Berita Harian X