Rabu, 15 Disember 2021 | 1:20pm

5G: DNB tak sama dengan 1MDB

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memberi jaminan proses pemberian kontrak pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) berbeza berbanding dengan proses yang dilaksanakan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata proses tender digunakan DNB sudah distruktur mengikut piawaian global oleh firma perkhidmatan profesional bebas, Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY).

Katanya, pemilihan EY dibuat secara tender terbuka, berbeza dengan kaedah digunakan 1MDB yang memilih Goldman Sachs secara lantikan terus.

"Saya ingin tegaskan bahawa DNB dan 1MDB adalah dua perkara berbeza. Pertama berkaitan dengan proses tender DNB yang sudah distruktur oleh firma perkhidmatan profesional bebas, EY, mengikut piawaian global.

"Ini dibuat secara tender terbuka, Goldman Sachs dipilih (oleh 1MDB) bukan secara tender terbuka. Ada perbezaan besar," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang membangkitkan kebimbangan pelaksanaan 5G di Malaysia menerusi DNB bakal mengulangi kes 1MDB, selain tidak berpuas hati dengan anggaran kos bagi melaksanakan teknologi itu.

Mengulas proses pemilihan Ericsson sebagai penyedia perkhidmatan 5G di Malaysia, Yamani Hafez memaklumkan proses itu melalui empat panel tapisan terdiri daripada kira-kira 50 pakar tempatan dan antarabangsa daripada lebih 10 negara yang berpengalaman melaksanakan rangkaian 5G.

Katanya, proses tender bermula dengan penilaian awal 14 syarikat pembekal perkakasan rangkaian, sebelum lapan syarikat disenarai pendek dan dijemput untuk membida tender berkenaan.

Beliau berkata, proses menyenarai pendek syarikat terbabit mengambil kira pencapaian yang terbukti dalam menjayakan pelaksanaan 5G, perkhidmatan teknologi keseluruhan dan ketersediaan keselamatan yang dipertingkatkan bagi melindungi pengguna dan platform berkenaan.

"Syarikat itu juga perlu memiliki kehadiran dalam ekosistem Malaysia semasa, pemahaman kukuh tentang persekitaran perniagaan, termasuk rangkaian vendor sedia ada dan tenaga kerja tempatan, serta pelan efektif untuk memindah pengetahuan kepada syarikat tempatan," katanya.

Daripada lapan syarikat yang dijemput, katanya, hanya empat syarikat mengemukakan tawaran dalam proses bidaan tender, sebelum keputusan dibincangkan secara mendalam oleh jawatankuasa tender dan lembaga pengarah DNB.

"Ericson berada di kedudukan teratas dalam ketiga-tiga komponen utama kriteria penilaian tender.

"Pertama dari segi teknikal meliputi keseluruhan kemampuan teknologi 5G, kemampuan pelaksanaan 5G serta pendekatan integrasi dan keselamatan siber rangkaian, operasi dan penyelenggaraan.

"Kedua daripada segi komersial yang meliputi cadangan pembiayaan dan jumlah kos keseluruhan pemilikan, dan ketika merangkumi sosio-ekonomi, iaitu meliputi pembangunan tempatan dan kesan sosio-ekonomi," katanya.

Selain itu, Yamani Hafez berkata, pihaknya akan membuat satu program libat urus dengan semua Ahli Parlimen bagi memberi penjelasan secara telus berhubung pelaksanaan 5G di Malaysia.

"Apa juga soalan atau syak wasangka boleh dijawab terus oleh DNB," katanya.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang. - Foto BERNAMA
Berita Harian X