KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) selamat, manakala 10 ditemui mati, sementara 29 masih hilang dalam kejadian bot pancung terbalik di perairan Tanjung Balau, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata dalam kejadian jam 4.30 pagi itu bot terbabit dipercayai karam akibat cuaca buruk.
Katanya, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar memaklumkan menerima maklumat daripada pihak Markas Taktikal Tanjung Sepang mengenai penemuan bot tersebut bersama PATI di pantai Tanjung Balau.
"Berdasarkan maklumat awal, dianggarkan seramai 60 orang PATI berada di dalam bot.
"Seramai 21 orang dilapor selamat dan 10 mayat telah ditemui pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM). Manakala seramai 29 mangsa masih tidak ditemui," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nurul Hizam berkata, susulan itu, Maritim Malaysia mengaktifkan Op Carilamat mulai jam 8.50 pagi dan mengatur gerak pesawat AW 139 Agusta, kapal KM Tegas dan bot Petir 50 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang masih hilang.
Berita berkaitan: