Rabu, 15 Disember 2021 | 12:05pm

'Serangan militan Sulu terhadap Sabah hanya dakwaan palsu'

IPOH: Dakwaan kononnya militan Sulu mahu melakukan serangan ke atas Sabah hanya manipulasi yang dilakukan pihak tertentu untuk mencetuskan kebimbangan orang ramai khasnya penduduk Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata tiada ancaman seumpama itu berlaku dan menasihatkan orang ramai meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa.

Beliau berkata, pihaknya ada mendapat maklumat berhubung perbincangan atau perhimpunan diadakan pemimpin Sulu di selatan Filipina, namun ia bukan berkaitan serangan seperti didakwa, sebaliknya hanya membabitkan isu berkaitan pembangunan ekonomi dan keselamatan setempat di kawasan itu.

"Orang ramai khususnya penduduk di Sabah dinasihat tidak bimbang dan meneruskan pekerjaan harian seperti biasa kerana dakwaan kononnya Sabah akan diserang militan Sulu tidak benar, ia hanya manipulasi pihak tertentu yang sengaja mahu mencetus kebimbangan orang ramai.

"Kita mendapat maklumat mengatakan memang ada perhimpunan mereka berbincang di selatan Filipina, tetapi ia lebih kepada hal ekonomi dan keselamatan setempat, tidak berkait langsung untuk menyerang Sabah," katanya selepas majlis Perhimpunan Khas Kontinjen Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Kerajaan Filipina pada Ahad lalu menafikan laporan media antarabangsa mendakwa wujud plot untuk menyerang dan menawan Sabah, malah sumber ketenteraan dan pihak berkuasa negara itu turut menyifatkan laporan media berkenaan sebagai tidak berasas serta 'palsu'.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana menafikan pertemuan 19 pemimpin kepulauan Sulu di selatan negara itu adalah untuk merekrut 600 pejuang untuk menyerang Sabah.

Media antarabangsa pada Khamis lalu melaporkan 'pertemuan rahsia' dihadiri 19 datuk bandar dari Kepulauan Sulu di selatan Filipina merancang untuk merekrut 600 pejuang bagi melancarkan serangan.

Mazlan berkata, walaupun dakwaan itu tidak benar, pihaknya sentiasa bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan berlaku serangan daripada pihak militan itu.

"Polis memang bersiap siaga sepanjang masa jika ada apa-apa kemungkinan berlaku.

"Jadi, kita sudah mengarahkan pasukan polis di Sabah untuk bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan," katanya.

Mazlan memeriksa perbarisan polis sempena Perhimpunan Khas Kontinjen Perak di perkarangan IPK Perak, hari ini. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Mazlan memeriksa perbarisan polis sempena Perhimpunan Khas Kontinjen Perak di perkarangan IPK Perak, hari ini. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X