Selasa, 14 Disember 2021 | 11:28pm
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, disambunt pegawai setibanya pangkalan TUDM di Subang, malam ini. - Foto AFP
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, disambunt pegawai setibanya pangkalan TUDM di Subang, malam ini. - Foto AFP

Blinken tiba di Malaysia

KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J Blinken, tiba di sini malam ini untuk memulakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Pesawat khas membawa Blinken dan delegasinya seramai 39 anggota mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang dekat sini kira-kira jam 10.30 malam.

Ketibaan Blinken disambut Ketua Protokol Kementerian Luar, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah; Setiausaha bahagian Amerika, Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid; serta duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters.

Kuala Lumpur adalah persinggahan kedua Blinken sempena lawatannya ke tiga negara Asia Tenggara.

Semalam, beliau melawat Jakarta, Indonesia dan dijangka meneruskan lawatan ke Bangkok, Thailand.

Esok, Blinken akan menyertai mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah di Putrajaya sebelum melakukan kunjungan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bangunan Parlimen.

Lawatan Blinken ini amat bermakna memandangkan AS ke arah meningkatkan pembabitan dengan Asia Tenggara dan mengukuhkan kedudukannya di Indo-Pasifik.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu bakal memberi peluang terbaik kepada Malaysia dan AS untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai aspek selain meneroka inisiatif baharu.

AS mula menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957.

Washington dan Kuala Lumpur kemudian meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif pada April 2014.

Antara setiausaha negara AS yang pernah melawat Malaysia termasuk Mike Pompeo pada Ogos 2018, Rex Tillerson (2017), Hillary Rodham Clinton (2010) dan Condoleezza Rice (2006).

– BERNAMA

Berita Harian X