Selasa, 14 Disember 2021 | 8:09pm
Penting untuk masyarakat mematuhi SOP demi melindungi diri dan orang sekeliling daripada wabak COVID-19 serta penyakit yang biasa berlaku di negara atau bandar yang dilawati. - FOTO New Straits Times
Penting untuk masyarakat mematuhi SOP demi melindungi diri dan orang sekeliling daripada wabak COVID-19 serta penyakit yang biasa berlaku di negara atau bandar yang dilawati. - FOTO New Straits Times

Rancang perjalanan pelancongan selamat

BAGI merancakkan kembali sektor pelancongan negara, kerajaan mengambil langkah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kuarantin wajib dan pergerakan ke luar serta dalam negara.

Dengan kebenaran yang berkuat kuasa pada 18 Oktober lalu, lokasi pelancongan di seluruh negara kembali menjadi tumpuan orang ramai yang ingin bercuti.

Namun, situasi ini menyebabkan berlakunya pertambahan bilangan kenderaan dan kehadiran orang awam sehingga lupa mematuhi SOP.

Dengan kebenaran melancong ke luar negara buat rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi, meningkatkan lagi risiko kepada penyakit berjangkit yang mengancam nyawa.

Justeru, penting untuk masyarakat sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa demi melindungi diri dan orang sekeliling.

Selain dilindungi daripada COVID-19, pengembara turut digalakkan untuk melindungi diri daripada penyakit yang biasa berlaku di negara atau bandar yang mereka lawati.

Ini kerana, lokasi perjalanan tertentu juga mungkin tidak bersih bahkan makanan dan minuman yang diambil mungkin tidak selamat serta bersih.

Sebagai contoh, demam kepialu (tifoid) yang berpunca daripada pengambilan makanan dan air tercemar sehingga boleh mengakibatkan demam berterusan, sakit perut, cirit-birit atau sembelit, hilang selera makan, sakit kepala serta ruam.

Selain itu, sesetengah negara turut menetapkan pelancong untuk mengambil vaksin demam kuning. Begitu juga, vaksin meningokokus juga diwajibkan kepada semua jemaah haji dan umrah.

Beberapa vaksin perjalanan biasa yang lain termasuk influenza, taun, tetanus dan rabies.

Dengan perancangan serta langkah pencegahan ini, individu yang ingin melancong dapat mengurangkan risiko masalah kesihatan ketika percutian.

Justeru, rakyat Malaysia yang ingin melancong dinasihatkan untuk berunding dengan doktor dan mengambil vaksinasi perjalanan sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu sebelum melakukan perjalanan.

Rancang perjalanan dan nikmatilah percutian domestik mahupun antarabangsa anda dengan selamat.

Untuk maklumat lanjut, layari https://wwwnc.cdc.gov/travel

MAT-MY-2101532 (12/21)

Berita Harian X