Selasa, 14 Disember 2021 | 6:59pm
- FOTO BERNAMA
- FOTO BERNAMA

Pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 diluluskan

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Fahmy A Rosli

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Sokongan majoriti dua pertiga itu diperoleh menerusi dua kali undi belah bahagian, masing-masing pada bacaan kali kedua dan ketiga, seperti ditetapkan Perkara 159 Perlembagaan.

Pada bacaan kedua, pindaan RUU ini mendapat 200 undi, tiada ahli yang tidak bersetuju manakala 20 Ahli Parlimen tidak hadir.

Bagi bacaan ketiga, sebanyak 199 undi yang menyokong manakala tiada ahli yang tidak bersetuju manakala 21 Ahli Parlimen tidak hadir ketika kiraan undi dijalankan.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan pindaan RUU itu berkata, pindaan Perlembagaan ini bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Katanya, ia selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosio-ekonomi mampan.

Beliau berkata, berkata apa yang dilaksanakan sekarang adalah untuk memasukkan perjanjian Malaysia itu ke dalam Perlembagaan.

"Dengan sendirinya Jawatankuasa Rakan Sekutu menjadi sebahagian daripada Perlembagaan.

"Begitu juga MA63 yang ditandatangani 9 dan 28 Julai sebagai menjadi instrumen Perlembagaan kepada Perlembagaan Malaysia.

"Maka, boleh dirujuk dan diguna pakai. Di pihak Sarawak dan Sabah boleh menuntut apa saja perjanjian yang diletakkan dalam tiga dokumen berkenaan," katanya.

Berdasarkan pindaan itu, Perkara 1 Perlembagaan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibuat pada 3 November lalu.

Berita Harian X