Selasa, 14 Disember 2021 | 5:37pm

Pusat pengundian awal ditutup

KUCHING: Semua 85 pusat pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ditutup tepat jam 5 petang tadi.

Setakat jam 3 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 86 peratus pengundi awal sudah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Berdasarkan perkongsian menerusi Facebook (FB) rasmi SPR, proses pengundian di semua 111 saluran berjalan lancar.

Ketika ini, proses penyimpanan kertas undi giat dijalankan petugas SPR untuk disimpan di lokap balai polis berhampiran sebelum dikira Sabtu ini.

Hari ini, seramai 23,043 anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-masing layak untuk mengundi.

Jumlah itu membabitkan 12,585 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala 10,458 pengundi lagi meliputi anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan di 69 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Koperal Ehsan Mohamad membantu isterinya, Koperal Sabaria Sapiee yang mengalami masalah penglihatan memasukkan kertas undi pada hari pengundian awal PRN Sarawak ke-12 di Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya, Kuching. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Berita Harian X