Selasa, 14 Disember 2021 | 4:23pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Konsortium koperasi perlu berteraskan pasaran bebas

KUALA LUMPUR: Usaha Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) untuk menubuhkan konsortium bagi menjadi pengeluar barang keperluan asas pada harga lebih rendah sememangnya baik, namun perlu berteraskan model perniagaan pasaran bebas.

Profesor Pusat Kajian Keutuhan Tadbir Urus dan Akauntabiliti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Norman Mohd Saleh, berkata dengan kata lain, konsortium itu perlu sedia bersaing dengan perniagaan sedia ada.

"Memang ia sesuatu yang baik untuk mewujudkan konsortium supaya dapat mengurangkan peningkatan harga di rantaian nilai barangan, tetapi pada asasnya ia perlu mengikut pasaran bebas.

"Jadi konsortium yang menggabungkan 3,000 outlet runcit barangan keperluan asas itu perlu bersaing dengan perniagaan sedia ada lain untuk menurunkan harga pasaran, sekali gus memberi alternatif kepada rakyat," katanya kepada BH, hari ini.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, dilaporkan berkata pihaknya akan menubuhkan konsortium yang menggabungkan lebih 3,000 outlet runcit melalui gerakan koperasi negara dalam usaha menurunkan harga keperluan asas.

Melalui pendekatan itu katanya, ANGKASA akan bertindak sebagai penyelaras untuk membekalkan barang keperluan harian pada harga berpatutan dalam sistem rantaian pembekalan yang kini dimanipulasi orang tengah hingga menyebabkan harga barangan meningkat.

Norman berkata, dalam mewujudkan konsortium itu koperasi perlu meningkatkan daya saing, pilihan produk bermutu kerana pengguna akan memilih perniagaan terbaik untuk berbelanja.

"Ini bermakna konsortium tidak boleh memonopolikan harga kerana memiliki ribuan pengeluar runcit kerana pengguna akan berbelanja di premis yang memberi nilai kepada mereka, berikutan adanya perniagaan sedia ada yang sekian lama bertapak.

"Jadi gabungan koperasi itu perlu sendiri menaikkan perniagaan dan bukan menggunakan pendekatan mewajibkan membeli kerana ia tidak berkesan menentukan penurunan harga," katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi menyelesaikan isu orang tengah, konsortium perlu mengambil inisiatif menawarkan harga lebih murah dan sanggup mendapat pulangan untung yang kecil.

"Dalam hal ini bukan saja sedia bersaing tetapi konsortium perlu sedar dalam perniagaan berasaskan kepada pasaran, nilai jualan berbeza antara peraih, koperasi, pemborong atau apa saja peringkat rantaian.

"Jadi untuk mengurangkan harga jualan, koperasi perlu akur untuk mendapat pulangan kecil untuk mencapai matlamat mengurangkan harga dan hasilnya itu diterjemahkan dalam bentuk dividen," katanya.

Beliau berkata, dengan kebanyakan pertubuhan serta pengusaha pertanian mempunyai koperasi, ia membantu menjamin harga rendah jika koperasi berperanan membeli secara borong untuk mengelakkan monopoli orang tengah.

"Dengan pasaran yang stabil serta ada persaingan secara sihat, pengguna yang akan menikmati manfaat selain mempunyai banyak pilihan pembelian, harga kompetitif," katanya.

Berita Harian X