X
Selasa, 14 Disember 2021 | 3:44pm

Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka Jumaat

IPOH: Laluan di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, akan dibuka kembali sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan pada pagi Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata selain kerja pembersihan jalan, pembinaan longkang aliran air di kawasan runtuhan itu sedang dijalankan oleh pihak konsesi sebagai langkah mengelakkan berlaku pergerakan tanah.

Katanya, malah kawasan bukit yang mengalami runtuhan turut direka bentuk secara bertingkat bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan.

"Buat masa ini pihak konsesi sedang bersihkan jalan, selain membina longkang aliran air tepi jalan yang runtuh itu bagi mengelakkan pergerakan tanah (kembali) berlaku yang mana pembinaan longkang itu dijangka mengambil masa selama dua hari.

"Insya-Allah kalaun tiada halangan, pagi Jumaat ini pengguna jalan raya sudah boleh menggunakan jalan itu sepenuhnya, membabitkan pembukaan kedua-dua laluan.

"Mengenai masa ia mula dibuka, belum dimuktamadkan namun antara jam 12 tengah malam hingga 11.59 pagi Jumaat ini," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Katanya lagi, pihaknya turut menyeru supaya pengguna jalan itu tetap berwaspada ketika melalui jalan berkenaan berikutan sepanjang jalan berkenaan sememangnya dikelilingi kawasan bukit serta cerun.

Tanah runtuh di lokasi berkenaan kira-kira jam 1.40 petang 2 Disember lalu mengorbankan dua orang masing-masing pemandu sebuah lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas kenderaan dipandu mereka ditimbus runtuhan tanah.

- Foto fail
- Foto fail
Berita Harian X