Selasa, 14 Disember 2021 | 3:34pm
Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (kanan) dan Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (kanan) dan Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Dua doktor rebut Batu Kawah

KUCHING: Kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah dilihat belum memihak kepada mana-mana pihak dengan setiap calon yang bertanding masih mempunyai peluang di kawasan itu.

Kerusi itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara penyandangnya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan tiga calon pembangkang.

Kerusi itu sebelum ini menarik perhatian banyak pihak apabila Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, dikatakan mahu bertanding di kawasan itu bagi menentang Dr Sim yang menang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) pada 2016 lalu.

Kawasan itu menjadi tarikan pembangkang kerana jumlah pengundi antara kaum agak seimbang menyebabkan semua parti mempunyai peluang memenanginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kali ini.

Bagaimanapun pada saat akhir, Chieng Jen yang mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Kota Sentosa bertindak memilih kerusi DUN Padungan sehingga timbul khabar angin mengatakan beliau bimbang tewas di tangan Dr Sim.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. - Foto NSTP
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. - Foto NSTP

Kerusi DUN Padungan dianggap lebih selamat kepada Chieng Jen berikutan majoriti pengundinya adalah kaum Cina, selain menjadi kubu kuat kepada pembangkang sejak beberapa penggal lalu.

Bagaimanapun, DAP meletakkan seorang lagi pemimpin mudanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang menjadi harapan dapat merampas kerusi itu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Turut cuba merebut peluang adalah dua lagi calon iaitu Chai Kueh Khun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Setakat ini, peluang menang di DUN Batu Kawah dilihat adalah antara Dr Sim dan Dr Kelvin berdasarkan kekuatan ahli akar umbi, namun peluang dua calon lagi tidak boleh dinafikan, walaupun mereka mewakili parti yang baru kali pertama bertanding.

Sebagai kawasan pinggir bandar yang sedang membangun, Batu Kawah yang mempunyai seramai 20,681 pengundi berdaftar, menerima impak ekonomi dan pembangunan yang diterima Kuching.

Kawasan itu menjadi tumpuan kepada penduduk yang bekerja di Kuching bagi membeli rumah menyebabkan berlaku masalah kesesakan jalan raya dan harga rumah yang semakin melambung sehingga menyukarkan generasi muda memiliki kediaman sendiri.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Samsi Debok menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Batu Kawah di Pusat Pengundian awal Kem batalion 11 PGA Batu Kawa hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Samsi Debok menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Batu Kawah di Pusat Pengundian awal Kem batalion 11 PGA Batu Kawa hari ini. - Foto BERNAMA

Mana-mana calon yang menang di kawasan terbabit perlu mengemukakan perancangan jangka panjang dalam menyelesaikan masalah jaringan jalan raya secara lebih berkesan selain turut memastikan infrastruktur sedia ada diselenggara dengan baik.

Turut menjadi masalah di Batu Kawah adalah banjir yang kerap berlaku akibat limpahan Sungai Sarawak Kanan ke kawasan perkampungan sehingga menjejaskan kehidupan penduduk yang kebanyakan adalah Bumiputera.

Berikutan itu, kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan projek tebatan banjir di kawasan berkenaan yang diharap dapat menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Berita Harian X