Selasa, 14 Disember 2021 | 2:12pm
- FOTO BERNAMA
- FOTO BERNAMA

Pindaan Perlembagaan kukuh kedudukan Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pindaan Perlembagaan itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosio-ekonomi mampan.

"Persefahaman dan kestabilan politik, ekonomi serta sosial di Malaysia yang dicapai melalui rang undang-undang ini penting bagi membentuk asas kukuh dalam sebuah Keluarga Malaysia," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dibuat pada 3 November lalu.

Wan Junaidi berkata, sebelum RUU itu dibentangkan, cadangan pindaan terlebih dulu dipersetujui kerajaan Sabah dan Sarawak, dengan cadangan pindaan itu dibawa ke Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 11 Oktober lalu dan dipersetujui di peringkat Majlis Khas Mengenai MA63 pada 18 Oktober dan Jemaah Menteri pada 20 dan 29 Oktober.

Menurut RUU, Perkara 1 Perlembagaan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu "berhubung dengan Sarawak, seseorang yang warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras dinyatakan dalam undang-undang negeri sebagai ras asli bagi negeri itu" serta memotong Fasal 7.

Secara umumnya, Wan Junaidi berkata, Fasal (3) Perkara 159 Perlembagaan memperuntukkan pindaan kepada Perlembagaan tidak boleh diluluskan di Parlimen melainkan jika RUU itu disokong pada bacaan kali kedua dan ketiga dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.

"Justeru, penetapan dasar jelas dilaksanakan untuk cadangan RUU ini melalui pelbagai sesi libat urus yang diadakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara," katanya.

Katanya, beliau sendiri turut mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak antaranya bersama kerajaan Sabah menerusi pembentangan kepada Ketua Menteri pada 3 Oktober lalu dan pembentangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah pada 4 Disember.

"Bagi sesi libat urus bersama kerajaan Sarawak pula, sesi pembentangan kepada Ketua Menteri diadakan pada 15 Oktober selain libat urus bersama Ahli Parlimen GPS pada 28 Oktober.

"Sesi libat urus bersama pihak kerajaan (Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia - Barisan Nasional /Perikatan Nasional) berlangsung pada 7 Oktober dan 2 Disember manakala sesi sama diadakan bersama pihak pembangkang (Pakatan Harapan) pada 12 Oktober dan 7 Disember," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X