Selasa, 14 Disember 2021 | 11:36am

PRN Sarawak: Undi awal bersama bayi

KUCHING: Kehadiran seorang anggota polis wanita yang membawa bayinya ke pusat mengundi awal di Mes Pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, mencuri tumpuan media.

Anggota bertugas di IPK Sarawak itu, Lynne Ginju Law, 35, ketika ditemui berkata, dia terpaksa membawa bersama bayi perempuannya, Fatimah Sophiah Kamal Farhan berusia setahun kerana tiada pengasuh.

"Hari ini pengasuh bayi bercuti dan saya terpaksa membawanya bersama ke pusat mengundi.

"Saya teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok walaupun terpaksa membawa bersama anak kecil kerana ia (mengundi) adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, proses mengundi awal di seluruh negeri berjalan lancar sehingga jam 10 pagi tadi.

"Berdasarkan pemerhatian di pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di Batu Kawa dan di IPK, saya mendapati proses berjalan lancar.

"Malah, semua pengundi yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan menjaga penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka," katanya ketika ditemui di Mes Pegawai IPK Sarawak, di sini, hari ini.

Mancha berkata, setiap pusat mengundi awal dilakukan sanitasi bagi setiap dua jam oleh petugas kesihatan.

"Bagi mana-mana pengundi yang tidak sihat atau mempunyai gejala diminta untuk ke khemah khas yang disediakan bagi proses pengundian.

"Khemah itu menempatkan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalankan proses undi awal untuk individu bergejala," katanya yang mengundi di Ibu Pejabat PGA Batu Kawa.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh yang tiba jam 9.50 pagi tadi turut meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melawat pusat mengundi awal di Mes Pegawai IPK Sarawak di sini.

Lynne Ginju bersama anaknya, Fatimah Sopiah mengundi awal di IPK Sarawak hari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Lynne Ginju bersama anaknya, Fatimah Sopiah mengundi awal di IPK Sarawak hari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X