Isnin, 13 Disember 2021 | 10:46pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Satu PPS dibuka di Kedah malam ini

ALOR SETAR: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Bandar Baharu bagi menempatkan 21 mangsa banjir daripada sembilan keluarga pada malam ini.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Left (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu itu diaktifkan pada jam 8 malam.

Beliau berkata, ini kerana hujan lebat yang agak luar biasa melebihi tempoh sejam pada jam 3.15 petang itu, menyebabkan air melimpah dan saliran parit tersumbat sehingga air memasuki rumah penduduk di Mukim Bagan Samak.

"Sebanyak 21 rumah penduduk dinaiki air di Kampung Parit Nibong, Kampung Asam Kumbang, Taman Cahaya Nilam dan kawasan sekitar Sungai Tepus," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Abdul Rahim berkata, meskipun paras air surut secara perlahan, namun air masih bertakung dengan lumpur di rumah penduduk yang berada di PPS berkenaan.

"Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pemantauan di kawasan dinaiki air dan membantu mengepam air keluar daripada rumah penduduk," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X