Isnin, 13 Disember 2021 | 9:17pm
Awang pada sidang Dewan Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA
Awang pada sidang Dewan Negara, hari ini. - FOTO BERNAMA

Kerajaan teliti keperluan gubal perundangan baharu sektor gig

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang meneliti keperluan menggubal satu perundangan baharu khusus bagi melindungi dan menjaga kebajikan serta keselamatan pekerja dalam sektor gig.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata KSM masih mengadakan siri sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti penyedia perkhidmatan dan pemain industri.

Beliau berkata, ia bagi melihat situasi pekerjaan gig secara menyeluruh dan mendapatkan pandangan semua pihak berhubung keperluan pekerja dalam sektor berkenaan.

"Dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025, ada teras strategik khusus untuk menangani kedua-dua isu berkenaan.

"Satu program khusus bawah teras strategik ini ialah program memantapkan kesedaran serta kepekaan amalan keselamatan dan kesihatan dalam perkhidmatan e-hailing, termasuklah p-hailing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Awang berkata, program terbabit dilaksanakan pelbagai agensi, iaitu KSM, Kementerian Pengangkutan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Justeru bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) terjaga, katanya, sesi libat urus bersama persatuan berkaitan p-hailing dan syarikat penyedia perkhidmatan telah dijalankan.

Beliau berkata, satu panduan amalan KKP juga sedang digubal untuk dipatuhi semua pekerja terbabit bagi mengelakkan risiko kemalangan jalan raya dan kesihatan.

Dalam pada itu, Awang berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah melaksanakan 243,000 aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara dari Januari hingga November lalu.

Sepanjang tempoh itu, katanya, 168 kes pendakwaan selesai dijalankan membabitkan penalti RM1.90 juta, manakala 424 kompaun berjumlah RM1.44 juta dikeluarkan.

RUU itu adalah untuk meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang mengandungi 55 fasal merangkumi penambahan 27 seksyen baharu, pengguguran dua seksyen dan pindaan terhadap 35 seksyen sedia ada.

Ia kemudian diluluskan dengan majoriti ahli Dewan Negara bersetuju selepas dibahaskan oleh 13 senator.

Selain itu, Dewan Negara meluluskan RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 yang turut dibentangkan Awang bagi memansuhkan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) selepas dibahas tiga ahli Dewan Negara. – BERNAMA

Berita Harian X